RHB Investment jangka ELK-Desa luaskan perniagaan perabot ke Sabah, Sarawak pada FY24 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment jangka ELK-Desa luaskan perniagaan perabot ke Sabah, Sarawak pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Ogos - ELK-Desa Resources Berhad dijangka meluaskan perniagaan perabot mereka ke Sabah dan Sarawak pada FY24.

 

RHB Investment berkata, inisiatif itu adalah untuk meningkatkan kehadiran pemborong perabot rumah di kedua-dua negeri itu.

 

"Memandangkan pada masa ini tiada pemborong utama beroperasi di kedua-dua negeri itu, pihak pengurusan percaya terdapat bahagian pasaran yang perlu ditawan.

 

"Seperti yang diketahui, margin keuntungan kasar untuk jualan di sana tidak banyak daripada Semenanjung Malaysia iaitu antara 33% hingga 37%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penghutang sewa beli (HPR) berkembang sebanyak 23% pada tahun ini berbanding unjuran awal sebanyak 10%.

 

Katanya, pada FY24, pengurusan menyasarkan untuk meneruskan perkembangan dua digit dengan sasaran awal antara 10% hingga 15%.

 

"Kami menjangkakan permintaan untuk pembiayaan kereta terpakai akan kekal teguh dengan sebahagiannya disebabkan oleh jumlah urus niaga yang lebih tinggi di platform dalam talian dan ini sepatutnya menyokong sasaran pertumbuhan kumpulan pada masa hadapan

 

"Kami mengekalkan saranan neutral dengan harga sasaran (TP) RM1.20 sesaham," katanya.- DagangNews.com