RHB Investment unjur pasaran hartanah Iskandar Malaysia terus alami pemulihan | DagangNews Skip to main content

RHB Investment unjur pasaran hartanah Iskandar Malaysia terus alami pemulihan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pasaran hartanah di Iskandar Malaysia dijangka terus mengalami pemulihan selepas pelbagai projek infrastruktur baru akan dibangunkan di kawasan sekitarnya.

 

RHB Investment berkata, pelbagai projek baharu akan dilaksanakan selain kerajaan turut memberikan insentif khas bagi menarik lebih banyak pelaburan asing dan tempatan.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan aktiviti perniagaan dan aliran trafik di Johor Bahru meningkat secara beransur-ansur dalam jangka sederhana.

 

"Permintaan baharu untuk hartanah akan dapat diwujudkan dan memberi manfaat kepada pemaju hartanah dengan pendedahan kepada pasaran Johor," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar cukai pendapatan 15% khas untuk diberikan kepada pekerja mahir dan syarikat yang layak sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membangunkan zon kewangan khas di Iskandar Malaysia.

 

Kerajaan juga akan menawarkan kemudahan laluan cepat imigresen untuk memudahkan kemasukan pekerja mahir dari luar negara.

 

Ini bagi memastikan zon kewangan khas akan berdaya saing bagi menarik pelabur antarabangsa dan pekerja berpengetahuan untuk menetap di Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, cadangan pembangunan bercampur rangkaian Johor Bahru – Singapore Rapid Transit System (RTS) dijangka menetapkan penanda aras harga baharu semasa pelancarannya, yang berpotensi menaikkan harga bagi pembangunan lain di kawasan sekitar.

 

Katanya, kadar cukai pendapatan khas yang diberikan kepada pekerja mahir yang layak dijangka menarik lebih ramai penduduk berpendapatan tinggi untuk tinggal di Iskandar Malaysia yang sepatutnya mewujudkan permintaan yang menggalakkan untuk perumahan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dengan UEM Sunrise menjadi pilihan utama dan pada masa sama kami menyukai IOI Properties dan Matrix Concept," katanya.- DagangNews.com