Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pasaran saham Asia dibuka tidak menentu disebabkan lonjakan yang mendorong ekuiti global ke paras tertinggi menunjukkan tanda untuk berhenti menjelang ucapan penting oleh Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell hari ini.
Dolar AS pula menurun.
Menurut Bloomberg, pasaran saham utama Asia seperti Jepun merosot manakala saham Korea Selatan dan Australia pula didagangkan mendatar.
“Niaga hadapan S&P 500 menjunam selepas saham teknologi melonjak sekali gus memberi kesan ke atas indeks berkenaan dan Nasdaq Composite pula ke paras tinggi baharu untuk empat hari berturut-turut.
“Indeks MSCI All-Country World pula mencatatkan rekod baharu.
“Tempahan barangan tahan lama AS pula menjangkau dua kali ganda daripada anggaran sekali gus menunjukkan petanda dapat membantu menyokong pemulihan ekonomi dalam beberapa bulan akan datang,” jelas Bloomberg.
Selepas ini, pelabur mungkin akan memerhati persidangan Jackson Hole hari ini di mana Powell akan menyampaikan ucapannya.
Pelabur juga sedang memerhati perkembangan vaksin COVID-19 ketika kerajaan dan bank pusat di seluruh dunia terus melaksanakan sokongan ekonomi.
Sementara itu, ketegangan hubungan antara kedua-dua negara AS dan China berhubung Laut China Selatan berterusan selepas Beijing melancarkan empat peluru berpandu ke laut tersebut dan Donald Trump kini memperketat arahan ke atas syarikat yang membantu menubuhkan kem di rantau tersebut. - DagangNews.com