Samaiden raih kontrak bernilai RM181.34 juta bangunkan loji tenaga solar di Sungai Petani | DagangNews Skip to main content

Samaiden raih kontrak bernilai RM181.34 juta bangunkan loji tenaga solar di Sungai Petani

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Samaiden Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Samaiden Sdn. Bhd. meriah kontrak bernilai RM181.34 juta daripada Suria Infiniti Sdn. Bhd. iaitu syarikat bersekutu tidak langsung Uzma Berhad, untuk membangunkan loji tenaga solar di Sungai Petani, Kedah.

 

Uzma Kuala Muda Sdn. Bhd., yang merupakan syarikat milik penuh tidak langsung Uzma ialah pemilik loji tenaga solar itu.

 

Projek itu adalah loji janakuasa solar fotovoltaik (LSSPV) berskala besar dengan kapasiti 50MWac yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga menurut program LSS4.

 

Kontrak yang diberikan kepada Samaiden dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan kumpulan sepanjang tempoh projek.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir. Chow Pui Hee berkata, pihaknya berjaya meraih kontrak perniagaan EPCC dan pada masa sama meneruskan strategi untuk mempelbagaikan kehadiran di seluruh rantau ini.

 

samaiden
Ir. Chow Pui Hee

 

"Ini akan membantu meningkatkan prestasi kewangan kami dalam jangka panjang sambil kami memperoleh lebih banyak pekerjaan apabila permintaan untuk tenaga boleh diperbharui (RE) semakin meningkat dalam kalangan perniagaan dan kerajaan mengenai keperluan untuk sumber tenaga kos yang lebih rendah serta untuk memenuhi komitmen kemampanan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Hasil Samaiden bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2023 telah meningkat sebanyak 29.37% kepada RM125.56 juta daripada RM97.05 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya (9MFY22). 

 

Keuntungan sebelum cukai telah menurun kepada RM9.48 juta sebagai berbanding RM11.62 juta pada 9MFY22 disebabkan peningkatan kos kakitangan untuk menampung pengembangan berterusan operasi Kumpulan dan yuran profesional serta perbelanjaan penyenaraian yang ditanggung berkaitan dengan pemindahan penyenaraian daripada ACE ke pasaran Utama pada 31 Mac 2023.- DagangNews.com