Sarawak tubuh 42 Pusat Komuniti Digital perkasa transformasi ekonomi | DagangNews Skip to main content

Sarawak tubuh 42 Pusat Komuniti Digital perkasa transformasi ekonomi

Sarawak

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Penubuhan 42 Pusat Komuniti Digital (DCC) di negeri Sarawak dilihat sebagai medium pemerkasaan kemahiran dan kemampuan rakyat negeri itu dalam transformasi ekonomi digital.

Usaha berkenaan juga adalah sebagai langkah untuk membawa rakyat Sarawak agar tidak ketinggalan dalam dunia arus perdana.

Pustaka Negeri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bertanggungawab untuk memastikan kesemua DCC dilengkapi dengan teknologi semasa yang mampu membawa transformasi ekonomi digital kepada Sarawak.

"Kami bertanggungawab menyelaraskan 42 DCC di seluruh negeri Sarawak yang dilengkapi dengan perkhidmatan jalur lebar, komputer riba dan tablet, persidangan video digital, mesin cetak 3D, komputer dan pen 3D, koleksi buku mikro dan informasi digital.

"DCC ini juga akan dikendalikan oleh dua orang kakitangan di bawah pengawasan pihaknya dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Perumahan," jelas Pustaka Negeri.

Semalam, sebanyak 42 DCC telah dilancarkan secara maya oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (Idecs) di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching.

Pelancaran tersebut merupakan projek perintis dan penentu kepada perancangan masa hadapan negeri berkenaan.

Pustaka Negeri turut menaruh kepercayaan dan harapan yang tinggi terhadap manfaat yang bakal diterima oleh rakyat Sarawak melalui pelancaran DCC tersebut.

"Pelancaran ini diharap dapat membina komuniti digital yang lestari dan dapat menguruskan operasi secara berdikari.

"Projek ini akan dianggap sebagai projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia ke-12 agar lebih ramai komuniti di Sarawak mendapat manfaat daripada DCC," tambah Pustaka Negeri. - DagangNews.com