Sektor automotif terjejas teruk akibat PKPD, pekerja mungkin diberhentikan | DagangNews Skip to main content

Sektor automotif terjejas teruk akibat PKPD, pekerja mungkin diberhentikan

 Industri automotif terjejas teruk akibat PKPD, pekerja mungkin diberhentikan

KUALA LUMPUR 13 Julai - Industri automotif negara terjejas teruk akibat penutupan penuh operasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur.

 

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, proses pengeluaran dan pengedaran produk automotif iaitu kenderaan bermotor, komponen dan alat ganti serta penjualan kenderaan terhenti sejak 1 Jun lalu.

 

Impak berkenaan menyebabkan syarikat automotif kehilangan pendapatan dan berkemungkinan memberhentikan pekerja dalam beberapa kes tertentu.

 

"Ketika PKPD, tidak ada satu aktiviti perniagaan dari sektor automotif yang dibenarkan beroperasi, malah untuk negeri di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN), pusat pameran kenderaan dan pusat pengedaran masih tidak dibenarkan beroperasi walaupun kebanyakan sektor ekonomi yang lain kembali dibuka.

 

"Penamatan semua aktiviti ini akan membawa implikasi yang luas kepada seluruh ekosistem automotif di seluruh negara. Syarikat automotif kehilangan pendapatan, keuntungan, pasaran eksport dan penutupan perniagaan. 

 

"Dalam pada itu pekerja juga berdepan masalah lain seperti pemotongan gaji, dan kehilangan pendapatan terutama bagi kakitangan jualan, bahkan mungkin pemberhentian kerja dalam beberapa kes tertentu," katanya seperti dilapor Berita Harian.

 

Menilai kepada keadaan tersebut, MAA memberitahu, pendekatan pelaksanaan PKPD serta Fasa 1 dan 2 PPN perlu dikaji dan dipertimbang semula di negeri penyumbang ekonomi utama seperti Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

 

Menurutnya, semakin lama kilang, bengkel dan pusat pengedaran automotif berhenti beroperasi, semakin besar 'kerosakan' yang ditanggung kepada industri dan negara.

 

Justeru, MAA merayu kepada kerajaan untuk memberi kebenaran sektor automotif untuk bengkel dan pusat pengedaran kenderaan serta alat ganti kenderaan penumpang dan komersial beroperasi pada kadar segera walaupun dalam kapasiti tertentu dan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat di bawah PKPD, Fasa 1 dan 2 PPN di Selangor dan Kuala Lumpur.

 

Ini kerana kedua-dua negeri berkenaan menyumbang hampir 50% kepada jumlah keseluruhan industri (TIV) tahunan Malaysia.

 

"MAA juga berharap kerajaan membenarkan kilang dan pusat pengedaran kenderaan, alat ganti serta bilik pameran kenderaan baharu beroperasi dalam Fasa 1 dan 2 PPN.

 

"MAA juga mencadangkan kerajaan memberi kebenaran menerima dan menyimpan kargo selama dua hingga tiga hari seminggu seperti mana yang dipraktikkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) tahun lalu bagi mengurangkan kesesakan di pelabuhan," tambahnya lagi. - DagangNews.com