Sektor hartanah dijangka terus terkesan akibat inflasi - HLIB | DagangNews Skip to main content

Sektor hartanah dijangka terus terkesan akibat inflasi - HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan prospek masa hadapan sektor hartanah kekal mencabar kesan daripada kenaikan kadar inflasi.

 

Firma itu berkata, sektor hartanah bermula dengan baik dan jangkaan awal ia akan menunjukkan pemulihan positif selaras dengan pembukaan semula sektor ekonomi yang lain.

 

Bagaimanapun, sentimen itu menjadi lemah menjelang 2H22 kesan daripada tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) selain kadar inflasi yang menyaksikan kedua-dua perkara itu memberi impak negatif terhadap kuasa membeli pengguna.

 

"Sebagai tambahan, pemaju hartanah juga berdepan cabaran mereka tersendiri termasuk kenaikan kos bahan binaan, kekurangan tenaga pekerja dan peningkatan kos pembiayaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kenaikan akdar inflasi menyebabkan kenaikan harga makanan serta kos pengangkutan dan ia dijangka terus meningkat pada 2H22 akibat cadangan kerajaan untuk menghapuskan harga siling bagi makanan.

 

"Selain itu, kenaikan kadar faedah dengan tekanan inflasi juga akan melemahkan kuasa beli dalam sektor hartanah," katanya.

 

Firma itu berkata, pemaju hartanah dijangka lebih berhati-hati untuk melancarkan projek baharu mereka selepas mengambil kira persekitaran kos yang semakin meningkat dan pasaran yang tidak menentu kerana ia akan menjejaskan margin keuntungan mereka.

 

Katanya, isu kediaman tidak terjual dalam pasaran hartanah juga memberi kesan kepada pemaju kerana mereka tidak dapat untuk menanggung sepenuhnya kos bahan binaan yang semakin meningkat.

 

"Pada masa sama, kekurangan tenaga pekerja akan memberi kesan kepada garis masa projek disiapkan, pengiktirafan pendapatan dan aliran tunai kepada pemaju," katanya.

 

Firma itu bagaimanapun kekal 'neutral' terhadap sektor hartanah tetapi menggemari Sunway (beli; TP RM2.65), Mah Sing (beli; TP: 90 sen) dan Matrix (beli; TP: RM2.45) kerana permintaan yang kukuh, kunci kira-kira yang stabil dan model perniagaa yang cekap. - DagangNews.com