KUALA LUMPUR 9 Sept - Sektor pembinaan Malaysia bakal menyaksikan pertumbuhan ketara dan peningkatan peluang pekerjaan pada separuh kedua 2024 didorong oleh projek infrastruktur berskala besar.
Pemacu utama pengembangan ini termasuk inisiatif utama seperti Transit Aliran Ringan Pulau Pinang (LRT) dan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di wilayah Lembah Klang.
Operasi industri pembinaan yang menggalakkan serta permintaan kemudahan seperti gudang, pusat data dan loji semikonduktor turut mendorong pertumbuhan itu, menurut Ketua Serantau bagi Asia Tengah, MENA dan APAC PlanRadar, Vitaly Berezka.
Beliau berkata, selain LRT Pulau Pinang dan MRT3, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pan Borneo dan pembangunan Iskandar Malaysia akan menyumbang kepada pertumbuhan sektor itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lepas berkata, jumlah pelaburan sebanyak RM160 bilion yang melibatkan hampir 3,000 projek baharu akan membuka lebih 79,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Daripada jumlah itu, 57.2% daripada pelaburan yang diluluskan itu merupakan modal asing dan selebihnya, 42.8% adalah pelaburan domestik.
Berezka berkata, institusi kewangan dan pelabur kini mengutamakan kemampanan yang memerlukan projek memenuhi piawaian alam sekitar yang ketat.
"Tekanan ini sejajar dengan dasar kerajaan dan komitmen antarabangsa, seperti matlamat Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050.
"Hasilnya, syarikat pembinaan mesti menyesuaikan diri dengan matlamat kemampanan ini untuk mengekalkan akses kepada pembiayaan penting dan peluang pasaran," ulasnya.
Berezka juga berkata, teknologi adalah penting dalam menyelaraskan projek dengan prinsip mampan sambil memastikan pulangan kukuh untuk pelabur.
Alat pengurusan pembinaan digital seperti pemodelan maklumat bangunan (BIM), internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) akan memudahkan perancangan dan simulasi yang tepat, mengoptimumkan penggunaan sumber, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan tenaga.
Sementara itu, beliau juga berkata, peningkatan ketara dalam aktiviti pembinaan di seluruh Asia Tenggara sebahagian besarnya didorong oleh pelaburan besar dalam projek infrastruktur dan pengangkutan awam.
"Hasil saiz pasaran pembinaan Asia Tenggara dilaporkan dijangka mencecah AS$538.5 bilion pada 2024 dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) lebih 6.0% setahun.
"Walaupun peningkatan itu memberi manfaat kepada sektor pembinaan, ia juga membawa cabaran, termasuk potensi kekurangan sumber, kebimbangan kelestarian alam sekitar dan keperluan pengurusan projek yang lebih baik bagi mengelakkan kelewatan dan peningkatan kos," jelas Berezka.- DagangNews.com