NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 9 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap sektor pendidikan yang dilihat merupakan asas terpenting dalam pembinaan generasi pewaris negara yang berdaya saing.
Beliau berkata, bagi terus memperkasakan sektor itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkasakan fasiliti kurikulum dan kokurikulum dengan menyiapkan projek menaik taraf bangunan daif di 29 buah sekolah dan memulakan pembinaan 34 buah dewan terbuka serba guna.
Beliau berkata, usaha itu akan terus dipergiat bagi memastikan infrastruktur pendidikan yang selamat dan selesa dapat disediakan.
"Kerajaan juga sentiasa memastikan akses pendidikan yang menyeluruh, dengan mengutamakan pengoperasian sekolah yang menekankan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan murid berpandukan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.
"Di samping itu, calon guru yang berjaya dalam Fasa 1 pengambilan khas secara one-off telah diberikan surat tawaran dan telah ditempatkan di sekolah.
"KPM juga telah membangunkan sistem aplikasi pertukaran dan penempatan guru bagi memantapkan lagi proses berkenaan selaras dengan keperluan semasa," katanya ketika berucap merasmikan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Sementara itu, Ismail sabri berkata, Keluarga Malaysia mengamalkan prinsip “tiada golongan yang dipinggirkan” terutama dalam menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah melaksanakan pelbagai program rentas kementerian untuk membuka ruang kepada lebih ramai anak Orang Asli bagi melanjutkan pengajian di universiti dan bekerja dalam bidang profesional. - DagangNews.com