Sektor penerbangan bakal berdepan bencana pekerjaan - ITF | DagangNews Skip to main content

Sektor penerbangan bakal berdepan bencana pekerjaan - ITF

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menganggarkan 4.8 juta pekerja sektor penerbangan di seluruh dunia akan terjerumus dalam krisis pekerjaan sekiranya tiada sebarang langkah diambil oleh pihak kerajaan. 

 

Malah, persatuan itu menjangkakan industri penerbangan tidak akan pulih sekurang-kurangnya pada tahap 2019, sehingga 2024. 

 

Ini memerlukan tindakan dari kerajaan untuk membina semula sektor ini, termasuk menyediakan sokongan kewangan segera dan menggantikan keperluan kuarantin yang lebih sistematik. 

 

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Pengangkutan (ITF), Stephen Cotton berkata, hampir 80% daripada skim penggantian gaji akan kehabisan menjelang akhir tahun ini. 

 

"Tanpa bantuan segera dari kerajaan, kita akan menyaksikan krisis pekerjaan terbesar abad ini yang tidak pernah dilihat sebelum ini," katanya dalam kenyataan bersama IATA. 

 

Bagaimanapun, jelasnya, bencana ini dapat dielakkan sekiranya wujud strategi bersepadu berdasarkan bantuan, pemulihan dan pembaharuan. 

 

"Pekerja penerbangan kini menggesa kerajaan untuk bertindak, menyediakan sokongan kewangan yang akan melindungi pekerjaan mereka dan komited untuk bekerjasama dengan kesatuan dan pekerja bagi menyokong usaha pemulihan jangka panjang ini. 

 

"Jika kerajaan gagal untuk bertindak, mereka bukan sahaja menambah perit industri ini, tetapi kesan kepada komuniti adalah lebih besar," tegasnya. 

 

Industri penerbangan global secara dasarnya memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi yang amat diperlukan untuk ketahanan negara dalam menghadapi pandemik COVID-19 menerusi pengangkutan bekalan perubatan dan rangkaian bekalan kritikal. 

 

Setakat ini, kerajaan telah menyalurkan sehingga AS$160 bilion bagi mengelakkan krisis lebih buruk melanda sektor penerbangan. 

 

Dalam pada itu, perolehan juga dijangka menurun sehingga 62% tahun ini berbanding 2019 dan syarikat penerbangan terpaksa membelanjakan wang tunai sebanyak AS$300,000 sehari. 

 

Menurut IATA, sekiranya pandemik COVID-19 dapat dipulihkan dengan cepat, secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada pemulihan keterhubungan pengangkutan udara secara global. 

 

"Apa yang penting sekarang, bukan sekadar bantuan tetapi bagi memastikan ia bersesuaian dan mampu menyokong industri untuk kembali pulih daripada pandemik ini," katanya. - DagangNews.com