Sektor penerbangan masih berhati-hati - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Sektor penerbangan masih berhati-hati - CGS CIMB


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Sektor penerbangan masih dalam 'mood' berhati-hati sekalipun laporan mengenai perkembangan vaksin COVID-19 dilihat memberi keyakinan ke arah pemulihan ekonomi global. 

 

Malah, di pasaran saham serantau, perkembangan vaksin itu memberi lonjakan kepada saham-saham berkaitan penerbangan. 

 

Menurut penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap, secara dasarnya, vaksin tersebut masih sukar disediakan dengan meluas sehingga pertengahan 2021 dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) merancang untuk mengagihkan 2 juta dos pada akhir tahun depan. 

 

Walaupun, ini hanya mewakili 26% daripada jumlah populasi penduduk sebanyak 7.8 bilion, ia hanya boleh dilaksanakan sekiranya sempadan antarabangsa dibuka secara berperingkat-peringkat. 

 

"Berdasarkan situasi ini, anggaran pendapatan wajar kami merangkumi andaian pemulihan, yang mungkin berisiko kerana terlalu optimis.

 

"Sebagai contoh, Singapore Airlines (SIA) baru-baru ini memaklumkan purata penggunaan adalah kira-kira 33% daripada kapasiti sebelum pandemik untuk tahun kewangan 2021, dan anggaran semasam kami ialah 45% untuk tahun kewangan berakhir Mac 2022," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Suvarnabhumi
Lapangan terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand yang dikendalikan oleh Airports of Thailand (AOT).

 

Setakat ini, saham-saham berprestasi baik, Airports Corporation of Vietnam (ACV) dan Airports of Thailand (AOT) adalah paling perlahan semalam, manakala saham-saham berprestasi buruk pula meningkat dengan baik. 

 

Semalam, saham ACV naik 4% kepada VND65,900 manakala AOT naik 8% kepada THB67.75 dan Singapore Changi Airport (SAT), naik 11% kepada S$3.50. 

 

Saham Malaysia Airport Holdings Bhd. pula naik 21% kepada RM5.22, SIA naik 14% kepada S$3.91, AirAsia Group Bhd (AAGB) naik 27% kepada 68 sen dan AirAsiaX (AAX) naik 63% kepada 6.5 sen. 

 

Harga saham AAGB dan AAX hari ini diniagakan rendah, masing-masing 5% dan 8% manakala SIA tidak berubah, saham berkaitan lapangan terbang terus meningkat, MAHB dan ACV masing-masing meningkat 2% dan AOT tidak berubah.  

 

"Walaupun harga saham syarikat penerbangan melepaskan sebahagian keuntungan mereka hari ini, tetapi harga saham lapangan terbang terus meningkat dalam kitaran terbalik, yang mungkin disebabkan ketakutan pelabur untuk tidak ketingggalan dalam mendapatkan saham tersebut," katanya. - DagangNews.com