Selepas 31 Disember saya akan dikenali sebagai Rosyam Yes | DagangNews Skip to main content

Selepas 31 Disember saya akan dikenali sebagai Rosyam Yes

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Dis - Artis dan usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor menyarankan orang ramai yang ingin memulakan perniagaan supaya berfikiran kreatif dalam memastikan produk mereka dikenali dan bertahan lama di dalam pasaran.

 

Beliau memberitahu, sebagai usahawan mereka juga harus bijak dalam 'menjual' diri mereka sebagai sebuah jenama dan perlu sentiasa bergerak seiringan dengan keperluan pasaran.

 

Katanya, pemikiran kreatif adalah sesuatu yang perlu dalam memastikan mereka kekal relevan dalam dunia perniagaan atau berdepan risiko ketinggalan dengan pesaing lain.

 

"Macam saya, saya jual diri saya sebagai sebuah jenama. Seawal usia 17 tahun dalam filem Gila-Gila Remaja saya dikenali dengan nama Rosyam Nor, sedangkan nama saya adalah Mohamad Nor.

 

"Nama ini adalah kombinasi nama ibu dengan bapa saya dan ia menjadi nama pentas saya sehingga ke hari ini.

 

"Nama ini akan saya gunakan sehingga 31 Disember ini, sebab saya nak jenamakan semula diri saya, saya akan dikenali dengan nama Rosyam Yes," katanya berseloroh semasa forum Ikon Usanita bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

 

Rosyam juga mengingatkan para usahawan Islam untuk melunaskan zakat mereka dalam usaha untuk memajukan lagi perniagaan mereka.

 

"Dalam Islam ada menerangkan bahawan zakat tidak akan buatkan kita susah malah ia akan membantu menyucikan jiwa.

 

"Percayalah bahawa zakat adalah cara paling mudah untuk kita berjaya dalam perniagaan," katanya. - DagangNews.com