Selepas Johor, Pasaraya Chua Kah Seng sasar buka lebih banyak cawangan di negeri lain | DagangNews Skip to main content

Selepas Johor, Pasaraya Chua Kah Seng sasar buka lebih banyak cawangan di negeri lain

Pasaraya CKS cawangan Bundusan di Penampang, Sabah - Gambar Facebook Chua Kah Seng Supermarket Sdn Bhd
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PETALING JAYA 14 Mac - Rangkaian pasar raya berpangkalan di Sabah, Chua Kah Seng Supermarket Sdn Bhd (CKS) membuka peluang untuk pemerolehan dan pengembangan ke wilayah dan negeri lain, berikutan perjanjian dengan Fresh Hub Trading (FHT) untuk memperoleh 26 cawangannya di Johor, baru-baru ini.

 

Minggu lalu, kumpulan itu mengumumkan perjanjian itu menerusi media sosialnya, yang akan memulakan 'pelayaran' sulungnya ke Semenanjung Malaysia.

 

Menurut Pengurus Besar CKS, Ivan Chua berkata, ia adalah satu lompatan besar bagi kumpulan itu untuk membuat keputusan memasuki Johor, kerana diperhatikan syarikat Sabah jarang memasuki pasaran semenanjung dan biasanya ia sebaliknya.

 

“Dengan pengambilalihan FHT, kami yakin dapat menguruskannya dengan baik. Johor adalah pasaran yang berbeza, dari segi populasi setiap kawasan, lebih besar berbanding Sabah. 

 

"Walaupun pasaran lebih besar, persaingan masih ada tetapi ia masih merupakan peluang yang baik untuk kami berkembang ke Malaysia Barat,” katanya.

 

Pada masa ini, kumpulan itu mengendalikan 24 cawangan di Sabah, yang terdiri daripada 13 pasar raya dan 11 kedai runcit dan pasar, selain merancang untuk membuka enam lagi cawangan tahun ini di negeri itu.

 

Dari segi pengembangan selanjutnya, Chua berkata, bahawa tahun ini syarikat itu akan memberi tumpuan kepada operasinya di Sabah dan Johor tetapi kumpulan itu terbuka kepada peluang mengembangkan jenamanya dan memperoleh cawangan serupa pada masa hadapan. Sebelum ini, kumpulan itu memperoleh sebuah kedai kecil di Tawau, yang menduduki enam lot kedai.

 

 

cks
                                                                   Ivan Chua

 

 

Beliau mendedahkan bahawa kumpulan itu sedang dalam perbincangan dengan beberapa kumpulan mengenai pengambilalihan atau pengembangan, yang hanya akan disahkan pada suku ketiga tahun ini.

 

Chua yang mengambil alih jawatan pengurus besar pada 2020 berkata, beliau melaksanakan budaya syarikat baharu, dengan gaya pengurusan moden yang memfokuskan kepada kebajikan kakitangannya yang terdiri daripada hampir 1,000 pekerja di Sabah.

 

Beliau menambah bahawa kumpulan itu melabur kira-kira RM1 juta untuk meningkatkan kemahiran kakitangannya tahun lepas, bagi mengekalkan bakatnya. Ia juga memberi insentif kepada pekerjanya dengan skim perkongsian untung dan gaji yang lebih baik.

 

“Kami melaksanakan budaya ini kerana apabila kakitangan berpuas hati, mereka melayani pelanggan kami dari lubuk hati mereka. Pelanggan boleh membezakan keikhlasan,” jelasnya.

 

Dari 2020 hingga 2022, Chua berkata, peratusan keuntungan bersih kumpulan meningkat tiga kali ganda.

 

Beliau berkata, jika kumpulan itu memperoleh cawangan di Sabah, ia akan menjenamakan semula di bawah nama CKS. Bagi pemerolehan cawangan FHT, nama jenama yang terakhir akan kekal tidak berubah kerana kehadiran dan rasa biasa di kalangan pelanggan tetap.

 

Beliau berkongsi bahawa kira-kira 95% barangan yang dijual di cawangannya diperoleh daripada pembekal tempatan, manakala selebihnya diperoleh dari China, lapor The Sun Daily.

 

Chua berkata, CKS menanggung kos yang lebih tinggi untuk barangannya berikutan peningkatan "caj logistik" dan pergerakan kadar pertukaran asing.

 

Beliau menegaskan bahawa pasaran tepu dengan pemain dari luar negara, tetapi berpendapat persaingan sihat diperlukan untuk memaksa kumpulan itu mengikuti piawaian global.

 

"Kami mempunyai ramai pemain dari luar negara, saya melihat itu sebagai pendekatan yang baik kerana jika persaingan itu ada...ia memaksa kami untuk meningkatkan kemahiran diri untuk meningkatkan standard kami, untuk mengikut piawaian antarabangsa," kata Chua.

 

Sehingga kini, cawangannya melayani pelanggan daripada kumpulan pendapatan B40 dan M40. Beliau menambah bahawa CKS berharap untuk diiktiraf sebagai 'kedai runcit kejiranan' yang menyediakan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang dan pengalaman membeli-belah dengan harga berpatutan. - DagangNews.com