Seruan untuk menderma organ dalam kalangan pelajar universiti di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Seruan untuk menderma organ dalam kalangan pelajar universiti di Malaysia

DALAM satu inisiatif yang bertujuan untuk menangani masalah kekurangan penderma organ di Malaysia, Persatuan Transplan Malaysia (MST) dengan kerjasama Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, dengan bangganya mengumumkan Varsity P.U.L.S.E (Pledge for the Urgent Life Saving Efforts).

 

Acara yang julung kali diadakan ini bermula pada 14 Februari hingga 9 Mei, dan telah dilancarkan di Hospital Al-Sultan Abdullah UITM Puncak Alam oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Nor Fariza Ngah, menandakan permulaan kempen tahunan yang melibatkan semua universiti awam dan swasta di seluruh negara.

 

“Sebagai rakyat Malaysia, kita patut berbangga dengan pelbagai pencapaian kita, namun di sebalik itu masih terdapat suatu realiti yang membimbangkan, iaitu kadar pendermaan organ di negara kita adalah antara yang terendah di dunia.

 

"Dengan seramai 9,641 pesakit yang sedang menunggu organ, setiap satunya mewakili seseorang yang mempunyai keluarga, impian, dan harapan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

 

"Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab kami untuk meningkatkan kesedaran dan mewujudkan impak yang signifikan, memenuhi tujuan sebenar Varsity P.U.L.S.E – untuk menyemarakkan kesedaran dalam kalangan pelajar universiti, generasi masa depan negara kita,” kata Dr Nor Fariza.

 

Varsity P.U.L.S.E mempunyai tiga objektif utama: 

  • Meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ dalam kalangan generasi muda Malaysia
     
  • Menghapuskan salah tanggapan yang berkaitan dengan pendermaan organ
     
  • Meningkatkan bilangan ikrar penderma organ

 

Malaysia berdepan dengan cabaran besar memandangkan kadar pendermaan organ di negara ini adalah antara yang terendah di dunia. Walaupun terdapat pelbagai usaha dijalankan bagi meningkatkan kesedaran, salah tanggapan mengenai pendermaan organ masih berleluasa, disebabkan oleh budaya dan kepercayaan agama.

 

 

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Nor Fariza Ngah
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Nor Fariza Ngah

 

 

Selain daripada itu, wujud ketidakpercayaan kepada sistem penjagaan kesihatan, iaitu kebimbangan tentang keadilan dan ketelusan dalam proses pengagihan organ.

 

Faktor sosio-ekonomi turut memainkan peranan, kerana masih terdapat ramai rakyat Malaysia yang tidak menyedari tentang kebaikan menderma organ atau tidak mempunyai akses kepada maklumat.

 

Mengatasi rintangan ini memerlukan kempen pendidikan yang bersasar, penglibatan komuniti, dan inisiatif dasar untuk membina kepercayaan, menghapuskan mitos, dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendermaan organ bagi menyelamatkan nyawa. 

 

Rekod terkini menunjukkan terdapat seramai 9,641 pesakit pemindahan yang sedang menunggu untuk menjalani prosedur menyelamatkan nyawa mereka, dengan kadar permintaan tertinggi adalah untuk pemindahan buah pinggang, bagi kedua-dua kes pesakit dewasa (9,211) dan kanak-kanak (397).

 

Apa yang mengejutkan ialah hanya 1.07% daripada populasi ketika ini berdaftar sebagai penderma organ, menunjukkan betapa pentingnya untuk kita mengambil tindakan segera. 

 

Pakar Runding Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mohamad Zaimi Abdul Wahab yang juga pengerusi penganjur Varsity PULSE, turut menyuarakan kebimbangan beliau.

 

Tegas beliau, “Kadar pendermaan organ yang rendah di Malaysia memberikan ancaman besar kepada nyawa mereka yang sedang menunggu pemindahan. Menerusi inisiatif Varsity P.U.L.S.E ini, kami menyasarkan untuk memupuk budaya kesedaran, kefahaman, dan belas kasihan dalam kalangan belia kita, memberi inspirasi kepada mereka untuk membuat perubahan dengan berikrar untuk menderma organ mereka.”

 

 

iktisad

 

 

Kempen ini diadakan tatkala mudah untuk seseorang itu berikrar sebagai penderma organ, menerusi penyepaduan fungsi pendaftaran penderma ke dalam aplikasi MySejahtera yang digunakan secara meluas, memudahkan penyertaan rakyat Malaysia di seluruh negara.  

 

Varsity P.U.L.S.E memberikan sinar harapan kepada ramai individu yang sedang menunggu pemindahan organ. Ia merupakan seruan untuk bertindak kepada pelajar universiti di Malaysia agar turut sama-sama bangkit dalam usaha menangani masalah kekurangan organ, menjiwai semangat belas kasihan dan perpaduan yang menjadi tonggak negara kita. 

 

Sepanjang tempoh kempen tersebut, semua universiti akan mengambil bahagian secara aktif dalam usaha meningkatkan kesedaran menerusi dua inisiatif utama.

 

Pertama sekali ialah “Kempen Kesedaran Pendermaan Organ oleh Pelajar” yang menyaksikan penubuhan kumpulan pelajar di setiap universiti bagi menganjurkan kempen kesedaran untuk memupuk  kefahaman dan sokongan dalam kalangan rakan sebaya di kampus.

 

Bahan pendidikan yang disediakan oleh Persatuan Transplan Malaysia dan Pusat Sumber Transplan Nasional akan memastikan penyebaran maklumat yang tepat.

 

Selain itu, “Cabaran TikTok Pendermaan Organ” turut diadakan bagi mengajak para peserta untuk menghasilkan video pendek interaktif yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ, selari dengan tema yang telah ditetapkan.

 

Kriteria penghakiman termasuk pematuhan kepada tema dan keaslian, ketepatan fakta yang dibentangkan, kejelasan mesej, dan tahap kreativiti yang dipamerkan.

 

Pendekatan ini memastikan bahawa kandungan yang dipilih sebagai pemenang bukan sahaja menarik tetapi juga dapat menyampaikan kepentingan menderma organ secara berkesan merangkumi semua platform media sosial.

 

 

iktisad

 

 

Persatuan Transplan Malaysia ditubuhkan pada 22 Julai 1994, Persatuan Transplan Malaysia komited ke arah memajukan pemindahan di Malaysia.

 

Ia menggalakkan pembangunan pemindahan organ dan tisu, memudahkan pertukaran maklumat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dan mendukung standard etika dalam bidang itu.

 

Dengan komitmen terhadap advokasi, perkongsian ilmu pengetahuan dan integriti, persatuan ini memainkan peranan penting dalam usaha membentuk landskap pemindahan di Malaysia, memacu kemajuan dan menyelamatkan nyawa menerusi pendermaan dan pemindahan organ. - DagangNews.com