Setiausaha Korporat Malaysia, Intan Nabilaa Idrus antara penerima Anugerah Tadbir Urus Global CSIA | DagangNews Skip to main content

Setiausaha Korporat Malaysia, Intan Nabilaa Idrus antara penerima Anugerah Tadbir Urus Global CSIA

Intan Nabilaa Idrus dinamakan Setiausaha Korporat Yang Meningkat Naik pada Anugerah Tadbir Urus Global CSIA di Kuala Lumpur malam tadi. /Gambar FB MAICSA
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 April – Intan Nabilaa Idrus dari Malaysia dinamakan sebagai pemenang kategori Setiausaha Korporat Yang Meningkat Naik pada majlis penyampaian Anugerah Tadbir Urus Global yang berlangsung pada 23 April 2024 di sini.

 

Majlis itu anjuran Corporate Secretaries International Association Limited (CSIA)  bersama dengan Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun Malaysia (MAICSA). 

 

Anugerah Tadbir Urus Global dianjurkan bertujuan menghargai sumbangan Setiausaha Korporat dan Professional Tadbir Urus terdahulu.

 

Hadir sebagai tetamu kehormat dan penyampai ucaptama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ts Mahadhir Aziz.

 

Turut sama pada majlis itu ialah Presiden CSIA, Datuk Suseela Menon.

 

mdec
Ts Mahadhir Aziz dan Suseela Menon pada Majlis Anugerah Tadbir Urus Global CSIA di Kuala Lumpur.

 

Anugerah Tadbir Urus Global menampilkan tiga kategori iaitu Setiausaha Korporat Global, Setiausaha Korporat Yang Meningkat Naik dan Tadbir Urus Profesional. 

 

Pemenang bagi setiap kategori telah ditentukan melalui proses pemilihan yang dilakukan oleh juri antarabangsa yang terdiri daripada pakar dan pemimpin tadbir urus korporat. 

 

Pemenang untuk kategori Setiausaha Korporat Global ialah Uto Ukpanah dari Nigeria manakala Profesional Tadbir Urus pula diberikan kepada Gill Meller dari Hong Kong.

 

Suseela berkata, dalam persekitaran perniagaan yang dinamik pada hari ini, peranan setiausaha korporat telah berkembang menjadi “pengawal” tadbir urus dan penasihat kepada Lembaga Pengarah. 

 

"Kepakaran mereka memainkan peranan penting dalam menghasilkan kejayaan di arena korporat, memastikan pematuhan, dan menggalakkan budaya ketelusan dan akauntabiliti. 

 

Anugerah Global Governance anjuran CSIA adalah bukti kepada dedikasi teguh CSIA dalam mengiktiraf kepimpinan dan inovasi tadbir urus korporat seterusnya membuktikan ahli-ahli CSIA adalah pemangkin kepada evolusi amalan-amalan tadbir urus,” katanya.

 

Sementara itu, Mahadhir berkata, dalam dunia korporat hari ini, menerima transformasi digital adalah penting untuk tadbir urus yang berkesan. 

 

"Mengintegrasikan teknologi digital berupaya meningkatkan operasi, ketelusan dan adaptasi. 

"Ini dapat mengukuhkan tadbir urus, membantu organisasi mengurus risiko dan merebut peluang baharu dalam era digital,” katanya.

 

Turut menyuarakan sentimen ini, Ketua Pegawai Eksekutif Wezmart International Berhad, Yee Chee Mun yang menekankan komitmen untuk mengutamakan tadbir urus dalam semua aspek operasinya. 

 

“Di Wezmart, tadbir urus bukan sekadar keutamaan; ia adalah teras kepada semua perkara.

 

"Masyarakat masih tidak menyedari bagaimana perhubungan digital dapat merapatkan individu dan memberi manfaat yang bukan sahaja dari segi kecekapan, tetapi dapat meningkatkan kecekapan kawal selia dan menyediakan kehidupan dan pengalaman yang baik untuk segenap masyarakat," ujarnya. 

 

Turut berlangsung sesi forum "Kecemerlangan Tadbir Urus: Pandangan daripada Pemimpin Industri" yang diketuai oleh Samantha Tai manakala ahli-ahli panel terdiri daripada Kenneth Foo, Ooi Suan Kim, Krishman Varges, dan Sharon Goh. 

 

Sesi itu bertujuan untuk mengenalpasti amalan terbaik daripada pelbagai industri, memberikan peluang kepada hadirin untuk mendapatkan pandangan daripada pakar dan pemimpin serta memupuk kerjasama untuk memajukan amalan tadbir urus ke peringkat yang lebih tinggi.

 

“Ketika kita merentasi landskap tadbir urus global yang sentiasa berkembang, adalah penting untuk kita bekerjasama dalam membina profesion tadbir urus yang komited dalam mempromosikan amalan tadbir urus yang baik dan menerajui transformasi tadbir urus korporat," kata Zahra Cassim, Ketua Pegawai Eksekutif CSIA. - DagangNews.com