Siaplah....PKP mungkin lebih 2 minggu | DagangNews Skip to main content

Siaplah....PKP mungkin lebih 2 minggu

SUASANA bandar raya Kuala Lumpur yang lengang pada hari pertama pelaksanaan PKP 2.0.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Penganalisis ekonomi tidak menafikan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas enam buah negeri mungkin berlanjutan melebihi tempoh dua minggu. 

 

Jangkaan itu dibuat berdasarkan contoh sekatan pergerakan dalam dan luar negara yang dilaksanakan sebelum ini, menurut Penyelidik ekonomi di Institut Hal Ehwal dan Demokrasi (IDEAS), Zulaikha Azmi.

 

“PKP dalam masa ini, walaupun kita harap dapat dielakkan kerana kesannya kepada ekonomi, adalah diperlukan untuk mengawal kes COVID-19 yang sangat tinggi. 

 

“Kita tahu dari PKP yang lepas bahawa pendapatan bisnes dan isi rumah terjejas. Perniagaan telah melalui satu tahun untuk mengadaptasi dan telah banyak menggguna pakai simpanan yang ada. 

 

Zulaikha Azmi
Zulaikha Azmi

 

“Jadi, sokongan daripada kerajaan adalah perlu untuk membantu mereka menyesuaikan dalam tempoh PKP pada masa yang singkat,” katanya kepada DagangNews.com.

 

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan semula PKP ke atas enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah sehingga 26 Januari. 

 

Sementara itu, PKPB dikenakan ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

 

PKPP pula dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut. 

 

Penguatkuasaan kesemua sekatan pergerakan berkenaan penting untuk mengawal peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang kini puratanya mencecah lebih 2,000 kes harian. 

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan bahawa tempoh dua minggu PKP hanya mampu mengelakkan penambahan kes harian. 

 

Sebaliknya, Malaysia memerlukan maksimum empat minggu tempoh PKP dengan mengambil kira faktor ekonomi bagi melandaikan semula lengkungan kes COVID-19 untuk mencapai purata 1,000 atau sebaiknya 500 kes harian. 

 

Sebelum ini, firma penyelidik, CGS-CIMB Research menjangkakan setiap dua minggu pelaksanaan PKP bakal mengheret ekonomi Malaysia untuk mengalami kerugian sebanyak RM10 bilion. 

 

Ramalan itu disokong oleh unjuran yang dibuat MIDF Research, di mana PKP 2.0 bakal ‘mengikis’ 0.8 mata peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susulan kesemua negeri yang dikenakan sekatan itu menyumbang 90% kepada ekonomi negara.

 

Sekiranya PKP dilanjutkan, nilai kerugian itu akan berganda, apatah lagi kebanyakan penganalisis ekonomi berpendapat adalah penting untuk kerajaan memberi suntikan ekonomi tambahan. 

 

Baca : Kembalikan semula moratorium - Penganalisis 

 

Disebabkan Malaysia belum lagi bebas daripada pandemik ini, Zulaikha melihat kerajaan perlu diberi ruang untuk memperuntukkan lebih banyak sumber yang ada untuk mengurangkan impak kepada bisnes dan isi rumah. 

 

“Kita masih belum tahu impak vaksin COVID-19 dan berapa cepat kesannya untuk mengurangkan kadar penyebaran pandemik itu. 

 

“Kita boleh lihat dalam masa dua hingga empat minggu dari negara lain seperti United Kingdom (UK) yang juga dalam tempoh perintah berkurung, bagaimana vaksin boleh memberi impak dan berapa cepat kita boleh keluar dari tahap pengurusan pandemik sekarang dan beralih ke pemulihan ekonomi,” tambahnya. - DagangNews.com