KUALA LUMPUR 18 April - Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat membuka penyiasatan ke atas modul solar yang diimport dari empat negara di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, menurut The Wall Street Journal (WSJ).
Siasatan baharu AS yang diumumkan pada bulan lepas, telah membayangi perkembangan pertumbuhan peranan Asia Tenggara sebagai pembekal solar utama negara.
The International Trade Administration, agensi jabatan itu yang bertanggungjawab melindungi perniagaan AS daripada penetapan harga yang tidak adil, berkata badan itu akan menyiasat sama ada produk solar yang disiapkan dan dieksport dari Kemboja, Malaysia, Thailand dan Vietnam mengelak cukai solar AS.
Dalam laporan Jumaat lalu (15 April), WSJ berkata sejak lima tahun lalu, Asia Tenggara telah disenaraikan sebagai sumber utama panel solar Amerika dari luar negara, didorong sebahagian besarnya oleh pengeluar China yang berkembang ke rantau ini selepas AS pada 2012 mengenakan duti ke atas eksport dari China.
Laporan itu berkata Washington ingin tahu berapa banyak bahan buatan China digunakan dalam panel solar yang dihantar dari Malaysia, Vietnam, Thailand dan Kemboja — negara yang menyumbang 85% daripada import Amerika tahun lepas.
Ia berkata agensi Amerika sedang menyiasat sama ada pengeluar melakukan pemprosesan kecil-kecilan di negara-negara ini untuk mengurangkan tarif sambil kembali ke rantaian bekalan yang berpangkalan di China untuk komponen kritikal.
Penyiasatan ini berlaku ketika Asia Tenggara bersedia untuk pelaburan baharu bagi memenuhi permintaan tenaga bersih yang semakin meningkat di AS, yang tidak menghasilkan panel solar mencukupi untuk menyokong lonjakan itu.
Kebanyakan rancangan pembesaran itu kini akan perlahan kerana industri menunggu keputusan jabatan tersebut.
Jika tarif berat dikenakan, rantau itu akan menjadi jauh kurang menarik sebagai pangkalan pembuatan yang tertumpu kepada Amerika Syarikat, kata WSJ.
Kilang yang mengeluarkan produk solar tersebar di seluruh Asia Tenggara — dari Pulau Pinang dan Sarawak ke bandar pantai Rayong di Thailand.
WSJ berkata petisyen yang membawa kepada siasatan AS mengatakan syarikat China membina rantaian bekalan yang dominan di peringkat global, didorong subsidi kerajaan dan sokongan lain yang membolehkan mereka mengurangkan harga dan mengenepikan pesaing.
AS berhujah bahawa syarikat bergantung pada rantaian bekalan tersebut untuk bahagian kritikal proses pembuatan dan menyiapkan barangan di Malaysia, Vietnam, Thailand dan Kemboja supaya mereka boleh mengeksport ke AS tanpa membayar duti AS.
Laporan AS itu memetik kerajaan Malaysia sebagai berkata membuat sel solar dan panel adalah berintensif modal dan kompleks. - DagangNews.com