IPOH 22 Julai - Masyarakat disaran mempunyai simpanan dalam bentuk emas fizikal antara 5 hingga 10% daripada nilai keseluruhan simpanan dibuat kerana fungsinya yang kalis inflasi.
Langkah ini bagi membantu mengurangkan kesan berikutan penurunan nilai ringgit dan pertumbuhan perlahan ekonomi sekarang.
Presiden 5G Associates, Noorazly Effendy Rusli berkata, pelaburan emas fizikal memainkan peranan penting dalam situasi ekonomi yang berbeza selain merupakan instrumen paling mudah diuruskan.
Menurut beliau yang juga Master Dealer Public Gold, ini kerana harga emas ditetapkan berdasarkan harga antarabangsa dan didagangkan dalam matawang dolar Amerika Syarikat (AS).
"Jadi, jika nilai ringgit jatuh berbanding dolar ia akan memberi kelebihan kepada penyimpan emas.
"Selain itu, harga emas juga dijangka akan terus meningkat selari dengan perdagangan antarabangsa kerana faktor pertumbuhan ekonomi global," ujarnya kepada DagangNews.com.
Menerusi Public Gold misalnya, pelanggan boleh membuat simpanan emas serendah RM100 sama ada menerusi kaunter di mana-mana premis syarikat tersebut atau secara dalam talian.
Ditanya tentang masa yang baik untuk membuat simpanan emas, jelas Noorazly, tiada istilah harga rendah atau tinggi kerana objektif simpanan emas adalah untuk jangkamasa panjang.
Katanya lagi, masyarakat juga perlu mempunyai kefahaman bahawa pengertian membeli emas sebenarnya adalah mengalihkan sebahagian daripada wang yang ada menjadi dalam bentuk emas.
Menurut Noorazly, ini kerana perkataan beli itu lebih sesuai bagi pembelian dalam bentuk fizikal atau barangan lain, sebagai contoh membeli telefon di mana akan berlaku susut nilai atau duit itu habis.
"Sebaliknya, apabila kita membeli emas kita sebenarnya mengalihkan sejumlah duit dalam bentuk emas kerana emas itu sendiri adalah wang.
"Nasihat saya, jika tujuan membeli emas fizikal untuk simpanan jangka panjang, janganlah bermain dengan turun naik harga sebab ramalan pergerakan harga akan tersasar bila berlaku perubahan ekonomi dan politik luar jangkaan.
"Sebagai seorang penyimpan emas, penurunan atau kenaikan harga emas semasa tetap memberikan kelebihan kepada penyimpannya," ujar beliau. - DagangNews.com