KUALA LUMPUR 13 Ogos - Solar District Cooling Group Bhd (SDCG) memeterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaannya (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.
Menurut kenyataan hari ini, SDCG terlibat dalam penyediaan dan penyelenggaraan sistem pengurusan bangunan (BMS), penyelesaian haba suria dan perkhidmatan penjimatan tenaga.
Kumpulan itu mempunyai rekod prestasi dalam peningkatan kecekapan tenaga merentas pelbagai sektor dan berusaha untuk mewujudkan penanda aras dalam pengurusan tenaga dan kecekapan kos.
IPO itu melibatkan terbitan awam lebih 118 juta saham biasa baharu, mewakili 28% daripada modal saham terbitan SDCG yang diperbesarkan lebih 424 juta saham biasa semasa penyenaraiannya.
Menurut SDCG, saham terbitan akan diperuntukkan sebanyak 21 juta saham mewakili 5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan bagi permohonan orang ramai Malaysia, dengan 50% diketepikan untuk pelabur Bumiputera.
Selain itu, 21 juta saham mewakili 5% daripada modal saham terbitan khas bagi permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Akhir sekali, 76 juta saham mewakili 18% daripada modal saham terbitan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Di samping itu, Mercury Securities akan menaja jamin kesemua 42 juta saham terbitan yang disediakan bagi permohonan oleh orang awam Malaysia dan orang yang layak.
Pengarah Urusan SDCG, Edison Kong berkata, penyenaraian kumpulannya akan meningkatkan keberadaan dan reputasinya dalam pasaran.
"Melalui IPO ini, ia membolehkan pengarah, pekerja, rakan kongsi perniagaan dan pelabur awam untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan dan pengembangan perniagaan kami yang berterusan, meningkatkan nilai pemegang saham," ujarnya.
Beliau juga berkata, pencapaian korporat ini akan membantu meningkatkan kumpulannya ke tahap yang lebih tinggi dengan memanfaatkan peluang baharu dan bertindak balas kepada keperluan pelanggan dan trend pasaran kami yang semakin berkembang.
Mercury Securities Sdn Bhd merupakan Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal SDCG.- DagangNews.com