SP Setia yakin capai sasaran jualan RM3.8 bilion | DagangNews Skip to main content

SP Setia yakin capai sasaran jualan RM3.8 bilion

SP Setia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Syarikat pembangunan hartanah, SP Setia Bhd. (SP Setia) memberi kayakinan penuh untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM3.8 bilion pada tahun 2020.

Maybank IB Research berkata, keyakinan itu dibantu oleh pembukaan semula sektor ekonomi yang mendorong peningkatan jualan hartanah.

"SP Setia tetap yakin dapat mencapai sasaran jualan RM3.8 bilion untuk tahun 2020.

"SP Setia kini memberi tumpuan untuk mengubah nilai tempahan berjumlah RM1.5 bilion kepada jualan sekali gus mengekalkan sasaran jualan berkenaan," kata Maybank IB Research.

Pada Ogos 2020, SP Setia telah mencapai jumlah jualan sebanyak RM1.45 bilion.

Maybank Kim Eng (MKE) turut mengandaikan nilai jualan bagi tahun 2020 SP Setia berjumlah RM3.4 bilion.

Susulan itu juga, Maybank IB Research turut mengekalkan ramalan pendapatan untuk syarikat berkenaan.

SP Setia dalam pemaklumannya kepada Maybank IB Research memberitahu, syarikatnya telah melancarkan satu unit hartanah baharu.

Hingga kini, hanya fasa pembangunan baharu di projek perbandaran dilancarkan dengan nilai majoriti hartanah berharga sekitar RM700,000 untuk setiap unit.

SP Setia juga merekodkan prestasi yang baik dalam projeknya di Daintree Residence, Singapura dengan peningkatan jualan sebanyak 88% berbanding 30% pada 2019.

Bagaimanapun, projek Battersea Power Station (BPS) dan projek di Melbourne dilihat sedikit lambat susulan SOP yang lebih ketat sepanjang penularan wabak COVID-19.

Maybank IB Research meletakkan sasaran harga sesaham (TP) untuk SP Setia bernilai RM1.30 dengan penarafan 'beli' saham syarikat berkenaan. - DagangNews.com