Standard Chartered unjur ringgit RM3.90, KDNK 7.5% pada 2021 | DagangNews Skip to main content

Standard Chartered unjur ringgit RM3.90, KDNK 7.5% pada 2021

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Ringgit dijangka berlegar pada paras RM3.95 berbanding dolar AS pada pertengahan tahun ini manakala RM3.90 menjelang akhir tahun ini. 

 

Ketua Penyelidik ASEAN Standard Chartered dan South Asia FX, Divya Devesh berkata, terdapat 3 faktor yang mendorong kepada pengukuhan ringgit berbanding dolar AS. 

 

Katanya, ringgit dijangka mendapat manfaat terutamanya daripada perdagangan global, diikuti harga komoditi yang lebih tinggi dan pengukuhan mata wang yuan China. 

 

"Apa yang kami lihat sepanjang pemulihan pertumbuhan global dan perdagangan, ringgit telah mencatat prestasi yang kukuh. 

 

"Sehubungan itu, penilaian ringgit kekal menggalakkan dan tidak mungkin dapat menghalang kenaikan seterusnya," katanya dalam sidang media Standard Chartered 2021 Global Research secara maya hari ini. 

 

Beliau juga mengekalkan pandangan neutral terhadap hutang dalam ringgit, memandangkan bekalan kekal menjadi tumpuan utama. 

 

Sementara itu, Ketua Ekonomi (ASEAN dan Asia Selatan) Standard Chartered, Edward Lee Wee Kok yang turut menyertai sidang media itu berkata, pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai 13 Januari selama 2 minggu akan mengikis 1 hingga 1.5% daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Beliau mengunjurkan Malaysia akan mencatat pertumbuhan KDNK pada 7.5% tahun ini berbanding penguncupan 5.8% pada 2020. 

 

Katanya, berdasarkan unjuran yang dibuat, selain kesan asas, faktor-faktor lain terutama dasar fiskal dan monetari yang menyokong, peningkatan permintaan global dan harga minyak mentah harus menyokong pertumbuhan.

 

"Walaupun ekonomi dijangka pulih tahun hadapan, unjuran purata pertumbuhan 2020-2021 pada 0.9% masih di bawah trend pertumbuhan baru-baru ini iaitu 4.9%," katanya. 

 

Wee Kok berkata, pertumbuhan mungkin kembali pulih pada suku pertama 2021 selepas pelaksanaan semula sekatan bagi mengekang penularan COVID-19 pada suku keempat 2020 dan kemudiannya berkembang pada separuh kedua. 

 

"Untuk itu, kami merendahkan unjuran pertumbuhan 2020 kepada -5.8% berbanding -4.4% yang mencerminkan kelemahan pertumbuhan pada suku keempat apabila kes tempatan COVID-19 semakin merebak," katanya. 

 

Mengenai kesan PKP 2.0, katanya, ia mungkin tidak seburuk ketika PKP 1.0 kerana ia tidak terlalu ketat dan hanya dilaksanakan di beberapa negeri. 

 

"Tambahan pula, vaksin COVID-19 dapat membantu mengehadkan penurunan keyakinan," katanya. 

 

Beliau juga memberitahu, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada mesyuarat dasar monetari, bulan ini. 

 

Sementara itu, dalam laporan Prospek Ekonomi 2021-Fokus Global menyatakan ketidakpastian politik akan terus berlaku walaupun Belanjawan 2021 telah diluluskan, November lalu. 

 

"Pergolakan politik masih lagi kekal tidak menentu di sebalik dakwaan pembangkang (termasuk Anwar Ibrahim) yang kerajaan ketika ini tidak mempunyai majoriti," katanya. 

 

Pilihan raya umum pula dijadualkan pada September 2023. - DagangNews.com