KUALA LUMPUR 8 Ogos - Anak syarikat milik penuh syarikat Taliworks Corporation Bhd (Taliworks), Sungai Harmoni Sdn Bhd menandatangani perjanjian kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi memacu penyelidikan inovatif menyeluruh berkaitan operasi loji rawatan air (WTP) dan pengurusan penjana sisa yang mampan.
Melalui perjanjian itu, Taliworks berkata, semua pihak berkaitan akan memanfaatkan kekuatan akademik UiTM dan komitmen syarikatnya terhadap penjagaan alam sekitar.
Syarikat itu turut berkata, kerjasama dengan UiTM itu akan memberikan tumpuan kepada penyepaduan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi Internet of things (IoT).
“Fokus kami kepada kedua-dua aspek itu bertujuan untuk membangunkan kaedah mampan bagi pengendalian dan penyelenggaraan LPA yang cekap serta mengurus sisa, yang akhirnya memupuk inovasi dalam bidang tersebut.
“Kerjasama dengan UiTM adalah hasil usaha berterusan dan kepimpinan Sungai Harmoni dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri air, sejajar dengan agenda kelestarian kami,” ujar Taliworks dalam kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, Sungai Harmoni optimis terhadap kerjasama strategik dengan UiTM yang bakal memberikan sumbangan besar kepada alam sekitar dan masyarakat.
UiTM merupakan universiti komprehensif terbesar di Malaysia yang menyediakan pendidikan inovatif dengan infrastruktur dan teknologi terkini dim 34 kampus, 4 kolej pengajian, 14 fakulti dan 9 pusat akademik.
Universiti itu juga menyediakan lebih 500 program akademik daripada peringkat Asasi, Pra Diploma, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana, PhD serta program profesional.
Sementara itu, UiTM terus memainkan peranannya dalam pembinaan negara dengan menzahirkan potensi dan membentuk masa depan.- DagangNews.com