Suntikan ekuiti dalam ER beri risiko kepada Genting Malaysia | DagangNews Skip to main content

Suntikan ekuiti dalam ER beri risiko kepada Genting Malaysia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Langkah firma permainan dan hiburan, Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia) untuk menyuntik ekuiti sebagai modal bekerja ke dalam anak syarikatnya, Empire Resorts (ER) merupakan satu perkembangan negatif, kata CGS-CIMB Research. 

Ini adalah berikutan, ER dijangka terus mencatat kerugian bagi tempoh lima tahun akan datang, berdasarkan ramalan yang dibuat syarikat itu menerusi penyata proksinya pada 8 November 2019. 

Sekiranya langkah itu berlaku, kerugian saham Genting Malaysia dalam ER akan meningkat sehingga 57% daripada 49%.

“Perkara positif yang bakal berlaku kepada Genting Malaysia adalah keadaan lebih baik pada saham keutamaan Siri L dengan 50% diskaun pertukaran harga ke dalam saham biasa bagi pengeluaran sebelum ini. 

“Kami juga maklum akan prospek ER mungkin bertambah baik sekiranya berjaya meneruskan pembangunan kemudahan mesin permainan elektronik di Orange County dan dianugerahkan lesen pertaruhan sukan di New York serta dapat meraih sinergi lebih baik dengan Resorts World New York City (RWNYC),” jelas analisis CGS-CIMB.

Pada Jumaat lalu, Genting Malaysia mengumumkan syarikat itu bakal membeli sehingga RM625 juta saham keutamaan Siri L dalam ER dan dijangka selesai pada penghujung tahun ini. 

Langkah itu sekaligus menjadikan jumlah pelaburan Genting Malaysia di dalam ER bernilai RM1.5 bilion setakat ini.

Pengambilalihan itu akan dibiayai oleh wang tunai dalaman syarikat dan/atau pinjaman bank sekaligus hutang bersih Genting Malaysia pada tahun kewangan 2021 (FY21) dijangka meningkat sehingga 2.9x.

Hasil daripadanya akan digunakan sebagai modal bekerja untuk penyambungan semula operasi Resorts World Catskills (RWC) setelah dibuka semulla pada 9 September 2020 dan memenuhi syarat hutang jangka masa pendek dalam tempoh enam bulan. 

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Genting Malaysia, tetapi sasaran harga diturunkan sebanyak 4% kepada RM2.70.

“Apabila Genting Malaysia mengumumkan pelaburan awalnya dalam ER bernilai RM539 juta pada Ogos 2019, ia mengurangkan sebanyak RM2.4 bilion daripada modal pasaran syarikat itu.

“Kami menjangkakan harga saham akan menerima impak negatif daripada suntikan ekuiti kali ini, tetapi magnitud harga saham akan sejajar dengan jumlah pelaburan (11 sen sesaham),” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com