Syarikat korporat perlu labur, kukuhkan trajektori ekonomi negara – Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Syarikat korporat perlu labur, kukuhkan trajektori ekonomi negara – Amir Hamzah

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai - Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menggesa syarikat korporat Malaysia melabur dalam pertumbuhan, kemampanan dan inovasi bagi mengukuhkan trajektori ekonomi negara sekaligus membida peningkaan rantaian nilai.

 

Semasa Anugerah Korporat The Edge Malaysia Centurion Club 2024 pada Isnin, Amir Hamzah menekankan keperluan usaha nasional kolektif bagi merealisasikan transformasi ekonomi bermakna.

 

“Dalam kerangka trajektori peningkatan pertumbuhan semasa ekonomi kita, saya menggesa syarikat anda untuk melabur. 

 

‘Melabur untuk mengembangkan, melabur untuk kemampanan, dan melabur dalam teknologi dan inovasi.

 

"Ini secara langsung menyumbang kepada usaha meningkatkan had siling dengan mewujudkan lebih banyak ruang untuk penyertaan ekonomi dan menggerakkan sektor industri utama ke hadapan dalam rantaian nilai," kata Amir Hamzah.

 

Merujuk pada rangka kerja ekonomi Madani, beliau berkata, ahli korporat berpotensi untuk mewujudkan gelombang perubahan secara kolektif, memacu transformasi sosial besar.

 

“Ini boleh dicapai melalui tindakan tegas dalam lingkungan pengaruh anda sendiri.

 

“Usaha itu termasuk memberi komitmen dalam pekerjaan lebih baik dan gaji lebih tinggi, memastikan peluang setara melalui perwakilan jantina di peringkat lembaga dan pengurusan serta melalui peningkatan kemahiran dan latihan berterusan pekerja," katanya.

 

Beliau juga menggalakkan syarikat bermodal pertengahan untuk meningkatkan kehadiran jenama mereka.

 

"Selain mengejar pertumbuhan perniagaan, saya juga menggesa syarikat bermodal pertengahan aktif meletakkan diri dalam pasaran. 

 

“Contohnya, melalui strategi penjenamaan menarik dan membina persekitaran kerja efektif yang mana pekerja menjadi duta syarikat.

 

"Selain itu, menjuarai acara sosial dengan penuh kebanggaan dan semangat. 

 

“Saya tidak sabar untuk melihat dan mendengar lebih banyak daripada ahli Kelab Centurion, membawa lebih semangat kepada korporat Malaysia," katanya.

 

Sementara kerajaan mengusahakan pelan tindakan peringkat kebangsaan, dan memastikan rakyat dilindungi mengikut pembaharuan ekonomi, beliau menyeru ahli-ahli daripada sektor korporat berpotensi tinggi untuk memberikan sokongan kepadanya. 

 

Dalam ucapannya, Amir Hamzah mengucapkan tahniah kepada pemenang anugerah Kelab Centurion 2024, menekankan peranan mereka sebagai contoh dan mentor dalam sektor korporat.

 

"Pencapaian anda merupakan mercu tanda kepada visi yang dicita-citakan, dan saya berharap ia memberi inspirasi kepada anda bukan sahaja untuk mengejar kejayaan yang lebih tinggi, tetapi juga untuk membimbing dan memupuk orang lain yang berada dalam pertumbuhan perjalanan mereka sendiri," ulasnya. - DagangNews.com