KUALA LUMPUR 10 Julai - TA Securities Research memberi harga sasaran 42 sen terhadap Daythree Digital Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Firma itu berkata, ia dibuat selepas mengambil kira prospek pertumbuhan pendapatan kumpulan yang teguh (FY23F/FY24F/FY25F: +45.9%/+31.9%/+29.6%) dan berada pada kedudukan untuk mendapat manfaat daripada minat yang semakin meningkat oleh perniagaan untuk meneruskan transformasi digital merangkumi penglibatan perkhidmatan perniagaan global (GBS).
Katanya, sehingga 31 Mei 2023, kumpulan itu terlibat dengan 22 pelanggan terdiri daripada pelbagai segmen industri.
Firma itu berkata, ia termasuk segmen tenaga & utiliti dan telekomunikasi & media, yang dari FY19 hingga FY22 secara kolektif menyumbang 72% hingga 86% daripada hasil kumpulan.
“Bagi segmen lain yang disediakan, ia termasuk perkhidmatan kewangan, pembinaan, e-dagang & runcit, teknologi kesihatan, dan pelancongan & hospitaliti,” katanya.
Melangkah ke hadapan, firma itu mengunjurkan hasil dan keuntungan bersih teras Daythree berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 22% dan 35.6% kepada RM118.3 juta dan RM17.4 juta pada FY25.
“Kami melihat Daythree sebagai sebahagian daripada industri GBS bersedia untuk terus mendapat manfaat daripada minat yang semakin meningkat oleh perniagaan merentasi pelbagai segmen industri untuk meneruskan transformasi digital, terutamanya dengan kepesatan pendigitalan pasca pandemik.
“Selain meningkatkan kecekapan, kami melihat bahawa perniagaan juga akan berminat untuk menerima keupayaan teknologi (cth RPA, AI & pembelajaran mesin, dan analisis data & risikan perniagaan) untuk membuka peluang baharu dan menyampaikan nilai tambah kepada pelanggan akhir, ” katanya.
Daythree secara tentatif dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE pada 26 Julai ini.- DagangNews.com