IPOH 21 Jun - Semua pelajar baharu TAJ International College (TIC) di sini akan didedahkan dengan pendekatan belajar dan bekerja (learn and earn) sebagai inisiatif menjana pendapatan sampingan.
Pendekatan ini untuk mewujudkan pelajar bebas hutang semasa melanjutkan pengajian selain mendedahkan mereka dengan pengalaman kerja.
Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada program Gerak Generasi Baru (GGB) yang diperkenalkan sebagai alternatif menangani masalah kewangan pelajar yang ingin menyambung pengajian.
Katanya, ini juga untuk mengubah paradigma pelajar berhadapan dengan dunia realiti dan bebas hutang.
“Konsep belajar sambil jana pendapatan adalah inovasi yang kita buat dengan kaedah seperti latihan amali tapi disokong dengan kerjasama pelbagai rakan strategik TIC.
“Hasil pemantau kita mendapati banyak bidang syarikat atau organisasi memerlukan tenaga kerja secara sambilan yang mana kemahiran tersebut ada pada bidang pengajian yang kita tawarkan.
“Antaranya pengurusan perniagaan, pengurusan acara, pendidikan awal kanak-kanak, pengajian bahasa Inggeris, perakaunan dan kecantikan.
“TIC akan membantu pelajar ini dalam pembelajaran mereka manakala menerusi kerja sambilan dapat menjana pendapatan termasuk melunaskan pinjaman pendidikan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar Gerak Generasi Baru TIC Solusi Belajar Tanpa Hutang.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Daerah Kinta Utara, Zabri Mat Basir.
Program GGB ini mensasarkan kira-kira 1,000 pelajar baharu TIC yang bakal memulakan pengajian pada Julai nanti.
Mengulas lanjut kata Tina, idea GGB adalah untuk menggerakkan generasi muda ke arah bebas hutang pendidikan sebaik memasuki alam pekerjaan.
Jelasnya, ini adalah langkah penting dalam memastikan bahawa pendidikan memberi impak positif, iaitu menjana pendapatan sambil belajar dan bukan dibebani dengan hutang di luar kawalan.
“Konsep belajar dan bekerja juga menyediakan para pelajar pada kemahiran bekerja sebenar yang mana ini menyediakan mereka untuk memasuki alam pekerjaan,” ujarnya. - DagangNews.com