Terimalah pilihan rakyat pada PRU15 tanpa cetuskan kekecohan - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Terimalah pilihan rakyat pada PRU15 tanpa cetuskan kekecohan - Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama penduduk Bera. - Gambar Bernama

BERA 18 Nov - Terimalah pilihan rakyat menerusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan hati terbuka tanpa mencetuskan sebarang provokasi dan kekecohan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpesan, menang atau kalah adat pertandingan dan sewajarnya setiap calon dan parti bertanding terbuka hati menerimanya kerana itu adalah pilihan rakyat.

 

“Saya harap esok pada hari mengundi dapat berjalan dengan lancar dan sempurna tanpa sebarang provokasi di seluruh negara.

 

“Saya juga berharap malam esok apabila menerima keputusan, semua kita boleh menerima keputusan yang diumumkan dengan semangat yang tinggi tanpa menimbulkan kekecohan di mana-mana sekali pun.

 

“Kita terimalah keputusan pilihan rakyat dengan dengan hati terbuka, menang atau kalah adat pertandingan,” kata Ismail Sabri ketika sidang media selepas program ramah mesra bersama warga Bandar 32 di Felda Sebertak pada Jumaat, lapor Suara.tv.

 

Beliau mengingatkan agar insiden provokasi tidak berulang lagi pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti perarakan baju hitam dan tuduhan 30,000 pengundi warga Bangladesh sebagai pengundi hantu.

 

Pun begitu, secara keseluruhannya Perdana Menteri memuji mood berkempen seluruh negara yang berjalan lancar yang membuktikan kematangan berpolitik rakyat Malaysia.

 

“Alhamdulillah selepas dua minggu berkempen saya lihat kempen berjalan dengan lancar di seluruh negara dan tidak ada kejadian yang tidak diingini sekali gus membuktikan kematangan rakyat Malaysia berpolitik tidak ada provokasi yang besar.

 

“21 juta pengundi akan mengundi esok termauk mereka yang berumur 18 tahun ke atas, jadi saya seru buatlah pilihan bijak untuk masa akan datang,” kata penyandang Parlimen Bera itu lagi. - DagangNews.com