AirAsia lancar penerbangan terus Kunming ke Kota Kinabalu, hubungkan Sabah dengan 10 bandar utama China | DagangNews Skip to main content

AirAsia lancar penerbangan terus Kunming ke Kota Kinabalu, hubungkan Sabah dengan 10 bandar utama China

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Sabah kini dihubungkan dengan 10 bandar utama China berikutan penyambungan semula penerbangan terus dari Kunming ke Kota Kinabalu yang dikendalikan oleh AirAsia pagi ini. 

 

Penerbangan sulung Kunming ke Kota Kinabalu itu disambut oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai. 

 

Laluan Kunming-Kota Kinabalu itu akan beroperasi tiga kali seminggu, melengkapkan laluan terus AirAsia yang lain ke Hong Kong, Guangzhou, Hangzhou, Shenzhen, Wuhan, Shanghai, Beijing dan Ningbo.

 

Joniston berkata walaupun China kekal sebagai pasaran penting bagi Sabah, Lembaga Pelancongan negeri itu sedang meneroka peluang pasaran baharu.

 

“Kami sentiasa berbincang dengan rakan kongsi syarikat penerbangan kami, khususnya AirAsia, untuk menjadikan Sabah sebagai hab pelancongan utama di Borneo.

 

“Kami mahu meneroka pasaran baharu seperti Vietnam, India, Asia Tengah dan merancang untuk menyambung semula penerbangan terus dari Australia.

 

“Dengan pembangunan Nusantara, kami perlu membina portfolio hab yang kukuh dan menguasai setiap pasaran yang bakal membuk laluan penerbangan antarabangsa yang lebih menarik,” katanya.

 

Di samping itu, AirAsia sedang giat berusaha untuk menghubungkan Sabah dengan lebih banyak bandar, termasuk Shantou, China dan Kaohsiung, Taiwan yang dijangka akan melancar pada November.

 

Syarikat penerbangan itu juga telah mula mempromosikan laluan baharu dari Ho Chi Minh, Vietnam ke Kota Kinabalu, yang dijangka bermula pada Disember 2024.

 

Laluan antarabangsa lain yang dikendalikan oleh AirAsia termasuk destinasi utama Asia Tenggara seperti Singapura, Manila, Jakarta, Bali dan Manado, serta Taipei dan Seoul.

 

Syarikat penerbangan lain yang menyediakan penerbangan antarabangsa terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu termasuk Air Busan, Scoot, Shanghai Airlines, China Southern dan Royal Brunei.

 

Dari Januari hingga Julai tahun ini, Sabah mencatat 262,070 pelawat dari China. 

 

Penumpang dari Brunei dan Korea Selatan mengikuti rapat, dengan 124,521 dan 106,573 masing-masing, menjadikan mereka antara pasaran pelancongan antarabangsa utama Sabah. - DagangNews.com