AirAsia luaskan rangkaian penerbangan domestik, tambah 2,000 penerbangan mingguan menjelang akhir 2024 | DagangNews Skip to main content

AirAsia luaskan rangkaian penerbangan domestik, tambah 2,000 penerbangan mingguan menjelang akhir 2024

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept - AirAsia meluaskan rangkaian penerbangan domestik di seluruh Malaysia dengan penambahan 2,000 penerbangan mingguan dan menawarkan 150,000 tempat duduk ke 40 laluan utama menjelang akhir tahun ini.

 

Pengembangan rangkaian itu bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat sempena akhir tahun serta memberikan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada tetamu tempatan dan serantau. 

 

Syarikat penerbangan itu berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmennya meningkatkan rangkaian dan memastikan perjalanan lebih mudah pada harga berpatutan. 

 

Melalui pengembangan itu, bahagian pasaran AirAsia dijangka meningkat kepada 64%, seterusnya memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor penerbangan di Malaysia. 

 

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, pengembangan rangkaian penerbangan domestik itu adalah komitmen Air Asia dengan jumlah 1.7 juta tempat duduk tersedia untuk tempahan menjelang Disember 2024. 

 

"Seperti syarikat penerbangan lain, kami juga menghadapi cabaran seperti kekurangan pesawat dan gangguan rantaian bekalan. 

 

"Kami bersedia untuk menangani isu-isu ini dengan perancangan teliti, kecekapan operasi dan pemulihan perkhidmatan bagi mengurangkan impak kepada tetamu bagi memastikan mereka tiba ke destinasi dengan selamat.

 

“Kami menyeru semua pihak berkepentingan seperti pihak kerajaan, lapangan terbang, organisasi pelancongan dan pemain industri lain untuk bekerjasama secara kolektif bagi menjadikan perjalanan lebih mudah diakses dan berpatutan untuk semua, terutama rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sejajar dengan usaha berterusan bagi meningkatkan pengalaman tetamu, syarikat penerbangan itu berkata, AirAsia Plus iaitu pakej yang menawarkan nilai tambah kepada tetamu yang terbang dari dan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB). 

 

 

ghgjkgh

 

 

“Pakej AirAsia Plus ini merangkumi bagasi kabin 7kg, bagasi daftar masuk 20kg, pilihan tempat duduk, hidangan dalam penerbangan dan insurans jaminan bagasi dan ketepatan masa (OTG) yang menawarkan penyelesaian perjalanan yang menyeluruh. 

 

“Pakej ini akan tersedia untuk tempahan bermula 8 Oktober 2024 bagi tempoh perjalanan mulai 9 Oktober 2024,” katanya.

 

Di samping itu, Fareh Mazputra berkata, pakej tersebut adalah sebahagian daripada usaha syarikat menawarkan perjalanan lebih bernilai kepada para tetamu dengan tambang berpatutan. 

 

AirAsia kini menawarkan tambang promosi bermula daripada RM49 termasuk semua terma dan syarat bagi perjalanan sehala untuk semua penerbangan domestik. 

 

Tambang promosi itu boleh ditempah mulai hari ini hingga 29 September 2024 secara eksklusif melalui aplikasi atau laman web rasmi Air Asia bagi tempoh perjalanan antara 28 Oktober 2024 dan 15 Februari 2025. - DagangNews.com