KUALA LUMPUR 24 Sept - Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) dengan kerjasama Payments Network Malaysia (PayNet) melancarkan kempen Sentuhan Ikhlas bagi membantu 1,000 keluarga B40 di mana setiap pembayaran tol MyDebit akan disumbang ke pertubuhan amal, Yayasan MyKasih.
Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, pengguna Lebuhraya Kumpulan ALR boleh membuat transaksi melalui tol MyDebit di Lebuhraya KESAS, LDP, SMART dan SPRINT.
Kempen itu menyasarkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Yayasan MyKasih setelah mencapai 5 juta transaksi MyDebit dalam tempoh dua bulan.
Sumbangan itu akan membantu 1,000 keluarga berpendapatan rendah di Malaysia untuk membeli makanan dan keperluan isi rumah melalui MyKad mereka.
Inisiatif itu akan mengagihkan dana secara berperingkat mengikut pencapaian transaksi MyDebit, di mana PayNet akan membayar RM100,000 selepas 1 juta transaksi dicapai, RM150,000 lagi selepas 2.5 juta transaksi dicapai dan RM250,000 apabila mencapai 5 juta transaksi.
Pengarah Kanan Bahagian Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor berkata, dengan mengintegrasikan MyDebit dalam kehidupan seharian para pemandu, mereka dapat menyumbang kepada komuniti yang kurang berkemampuan.
"Melalui Sentuhan Ikhlas, setiap transaksi MyDebit dibuat oleh pemandu akan memberi impak positif kepada keluarga B40," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Yayasan MyKasih berkata, kerjasama itu akan meringankan beban 1,000 keluarga untuk membeli keperluan asas.
"Dengan adanya usaha ini, ia dapat melahirkan masyarakat yang penyayang selain dapat membentuk peribadi yang mulia,” katanya.- DagangNews.com