KUALA LUMPUR 18 Okt - Apex Securities memberikan nilai wajar kepada penyedia perkhidmatan rumusan automasi dan kejuruteraan, 3REN Bhd pada 42 sen sesaham.
Penilaian dengan penarafan 'langgan' itu adalah lebih tiggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 28 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 November 2024.
Katanya, penilaian harga kepada pendapatan (P/E) kumpulan itu untuk tahun kewangan 2025 (FY25) diunjurkan pada 20 kali, berdasarkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) 2.1 sen.
ARTIKEL BERKAITAN : 3REN sasar kumpul RM30.8 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia
Firma penyelidikan itu berkata, penyedia perkhidmatan rumusan automasi dan kejuruteraan itu mempunyai hubungan jangka panjang dengan syarikat multinasional (MNC) seperti Intel dan KellyOCG.
Apex Securities berkata, kerjasama dengan MNC tersebut menyumbang lebih 60% kepada jumlah hasil sepanjang tiga tahun lalu yang menunjukkan bukti keupayaan kumpulan untuk melaksanakan dan mengekalkan pelanggan MNC yang besar.
Ia juga menjangkakan pendapatan merangsangkan 3REN melalui sokongan pangkalan pelanggan yang kukuh dengan 62.9% pelanggan multinasional berulang, di samping pengembangan geografi dalam bidaan.
"3REN mencatatkan hasil pada FY19 sehingga FY22 sebanyak RM103.6 juta pada FY22 (CAGR tiga tahun +28.2%) didorong peningkatan jualan daripada perkhidmatan sokongan kejuruteraan.
"Kami mengunjurkan peningkatan keuntungan bersih 10.0% tahun ke tahun (YoY) kepada RM12.8juta pada FY24, dipacu oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada perkhidmatan kejuruteraan yang berterusan," katanya dalam satu nota penyelidikan .
Firma tersebut juga mengunjurkan keuntungan bersih 3REN pada FY25 and FY26 masing-masing mencecah RM13.6 juta (+6.2%) dan RM14.8 juta (+8.9%).
"Kami menyukai kedudukan mantap 3REN yang menguasai 0.3% dalam pasaran rumusan pembuatan dan pendigitalan automatik.
"Kedudukan tersebut juga berdasarkan jumlah hasil yang digabungkan daripada peralatan automatik dan penyelesaian digital sebanyak RM36.5 juta yang direkodkan pada FY23 bersama-sama dengan prospek pertumbuhan yang stabil," katanya. - DagangNews.com