Bank Islam kenalkan kad kredit patuh syariah, bantu graduan uruskan wang  | DagangNews Skip to main content

Bank Islam kenalkan kad kredit patuh syariah, bantu graduan uruskan wang 

Dari (kiri) Pengarah Deposit dan Kad Bank Islam, Mohd Noor Jab; Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Kumpulan Bank Islam, Mizan Masram dan Ketua Perniagaan Kad Bank Islam, Ahdan Shariff Muhammad di acara Eksklusif "Passport to Inspire" untuk memperkenalkan Kad Kredit-i Bank Islam Mastercard Inspire di Central i-City Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept - Bank Islam Malaysia Berhad memperkenalkan Kad Kredit-i Mastercard Inspire, kad kredit patuh syariah yang direka khusus untuk golongan profesional muda.

 

Kad yang dibangunkan dengan kerjasama Mastercard itu menawarkan manfaat eksklusif bagi membantu graduan dan individu yang baru memulakan kerjaya untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih efisien.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit, Mizan Masram berkata, kad tersebut bersesuaian dengan pengguna kad kredit pertama dengan pengecualian fi tahunan sepanjang hayat.

 

Menurut beliau, kad itu bukan sekadar satu alat pembayaran tetapi kunci untuk membuka pintu pelbagai kemungkinan dan memperkayakan pengalaman pengguna. 

 

“Kami berhasrat untuk mendidik pelanggan dalam pengurusan kewangan yang sihat, pada masa sama membolehkan mereka merasai kenikmatan setiap penemuan penggunaan,” ulas beliau dalam satu kenyataan.

 

Bank itu berkata, kad kredit yang diperbuat daripada material berasaskan tumbuh-tumbuhan itu menawarkan 2X TruPoints bagi pembelian dalam talian dan tiket penerbangan. 

 

“Di samping mata ganjaran tanpa had bagi kesemua pembayaran runcit, sekali gus memberikan lebih nilai untuk setiap transaksi. 

 

“Mata TruPoints terkumpul boleh ditebus serta-merta dengan mudah di sebarang saudagar Mastercard di Malaysia dan seluruh dunia menerusi aplikasi mudah alih Bank Islam Mastercard Pay with Rewards,” jelasnya.

 

Selain menikmati ganjaran yang disediakan, Kad Kredit-i Bank Islam Mastercard Inspire juga menyediakan kelebihan praktikal seperti kemasukan percuma sebanyak dua kali ke Plaza Premium Lounge dan potongan 20% kadar tambang KLIA Ekspres. 

 

Pemegang kad juga boleh menikmati pelbagai tawaran dan manfaat menarik daripada Mastercard sepanjang tahun.

 

Bagi meraikan pelancarannya, Bank Islam menyediakan promosi istimewa mulai 1 Oktober sehingga 31 Disember 2024. 

 

“Pemegang kad baharu yang membuat permohonan dan mengaktifkan Kad Kredit-i Inspire mereka dengan membuat perbelanjaan minimum RM100 dalam satu transaksi akan menerima baucar Grab bernilai RM30. 

 

“Baucar berkenaan boleh ditebus dalam aplikasi mudah alih Grab untuk perkhidmatan GrabFood dan GrabRide,” katanya. - DagangNews.com