KUALA LUMPUR 23 Okt - CIMB Securities meramalkan kenaikan kenaikan gaji minimum, peningkatan levi pekerja asing dan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Belanjawan 2025 akan memberi tekanan kos kepada sektor perladangan.
"Bagaimanapun, kesan ke atas pengusaha kelapa sawit akan diimbangi sebahagiannya oleh peningkatan ambang levi keuntungan luar biasa (WPL).
"Kami meramalkan pendapatan negatif ke atas syarikat di bawah perlindungan kami antara 1.5% hingga 4.1%," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu berkata, pengusaha yang berpendapatan rendah akan mengalami kesan terhadap perubahan dasar itu.
Katanya, dalam jangka sederhana dan panjang, dasar Belanjawan 2025 itu akan memberi manfaat kepada syarikat perladangan progresif yang boleh mencapai hasil minyak sawit mentah (MSM).
"Selain itu, pembekal jentera pertanian atau pengilang peralatan ladang mungkin mendapat manfaat disebabkan kos buruh yang lebih tinggi dan insentif cukai automasi boleh mendorong penanam mempercepatkan usaha mekanisasi dan mengurangkan pergantungan kepada buruh asing," katanya.
Kerajaan akan menaikkan harga ambang MSM bagi pengenaan WPL sebanyak RM150 setiap tan kepada RM3,150 setan untuk Semenanjung Malaysia dan RM3,650 setiap tan untuk Sabah dan Sarawak.
Perubahan tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025, dengan kadar WPL kekal pada 3.0% pada tandan buah tandan segar (BTS).
"Walaupun ini perkembangan positif, ia tidak mencecah jangkaan iaitu harga ambang dinaikkan kepada RM4,000 satu tan untuk Semenanjung Malaysia dan RM4,500 satu tan untuk Sabah dan Sarawak," katanya.
Sementara itu, struktur duti eksport MSM akan memberi kesan kepada penanam huluan yang mengeksport MSM.
"Kami meramalkan eksport MSM akan menghadapi duti eksport yang lebih tinggi, mengurangkan daya saing eksport terhadap Indonesia didorong oleh perbezaan yang mengecil dalam cukai eksport MSM," katanya.
Bagaimanapun, CIMB Securities berkata, perubahan tersebut akan memanfaatkan pemain hiliran, seperti penapis Malaysia dan pengeluar oleokimia.
"Perubahan itu akan meningkatkan daya saing mereka berbanding pengeluar hiliran Indonesia, memandangkan perbezaan cukai eksport yang lebih tinggi antara minyak sawit diproses (PPO) dan MSM di Malaysia selepas semakan.
"Selain itu, eksport MSM dari Sabah dan Sarawak akan terus menikmati pengurangan duti eksport, kerana mereka masih akan membayar hanya 70% daripada kadar yang diwartakan," katanya.- DagangNews.com