Bonia kembali ke pasaran Jepun menerusi pembukaan cawangan pertama, mahu perluas rangkaian global | DagangNews Skip to main content

Bonia kembali ke pasaran Jepun menerusi pembukaan cawangan pertama, mahu perluas rangkaian global

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Nov - Jenama barangan kulit mewah Malaysia, Bonia Corporation Bhd, memperluaskan lagi pasaran globalnya dengan kembali ke pasaran Jepun menerusi pembukaan cawangan pertama di Ginza, Tokyo, yang terkenal sebagai hab trend fesyen.

 

Bonia dalam satu kenyataan berkata, syarikatnya sedang meneroka peluang pertumbuhan global bersama rakan-rakan utama.

 

"Walaupun kami berada di peringkat awal, fokus kami adalah untuk berkongsi kemahiran dan warisan kami dengan pelanggan yang lebih luas di seluruh dunia," katanya.

 

Cawangan itu mengadakan majlis pembukaan besar-besaran dari 10 hingga 13 September 2024, mempamerkan koleksi musim luruh/sejuk Bonia 2024.

 

Bonia berkata, pembukaan cawangan tersebut merupakan langkah penting dalam pertumbuhan antarabangsa syarikat, dengan meletakkan Bonia sebaris jenama mewah global dalam pasaran yang sangat kompetitif. 

 

Langkah itu juga merupakan pencapaian penting bagi jenama mewah Malaysia di pentas global.

 

Cawangan berkenaan mempamerkan koleksi global terkini dan menawarkan barangan eksklusif Bonia.

 

Ia juga berfungsi sebagai ruang komuniti untuk pelbagai acara komunikasi bersama peminat Bonia serta rangkaian perniagaan dengan pembeli dari seluruh dunia yang berminat untuk mengedarkan produk Bonia.

 

Koleksi rasmi Bonia pertama kali tiba di Jepun pada tahun 1997. 

 

Sepanjang 15 tahun berikutnya, Bonia berkembang dengan pesat di Jepun, tetapi pada tahun 2013, disebabkan masalah kontrak, Bonia terpaksa menarik diri dari pasaran Jepun.

 

"Selepas itu, pasaran menjadi kurang teratur, dengan produk Bonia palsu muncul di laman lelongan, yang amat mengecewakan kami," katanya.

 

Dengan peluasan itu, Bonia berkata, syarikat mahu membina kehadiran antarabangsa yang lebih kukuh dan memperkenalkan kemahiran pembuatan Malaysia kepada pelanggan yang lebih luas.

 

Sejarah Bonia bermula hampir setengah abad yang lalu apabila pengasasnya Chiang Sang Sem pada 1974, ke Itali untuk bekerja.

 

Semasa di sana, beliau bertemu dengan karya pengukir legenda abad ke-16, Giambologna, dan terpesona dengan keindahan dan kecanggihan seni pembuatan karya tersebut. 

 

Sejak penubuhannya, Bonia telah melancarkan koleksi beg, aksesori, kasut, jam tangan dan cermin mata. 

 

Seperti karya Giambologna, Bonia berkata, produk-produk mewahnya dihasilkan dengan teliti dan boleh digunakan pelanggan untuk masa yang lama. - DagangNews.com