KUALA LUMPUR 28 Okt - Malaysia mungkin meraih suara geoplitik di peringkat antarabangsa selepas menyertai BRICS tetapi hanya meraih faedah yang kecil dari segi ekonomi dan perdagangan luar, kata BIMB Securities.
Katanya, Malaysia mempunyai sedikit faedah ekonomi dan perdagangan luar untuk diperoleh daripada menyertai BRICS, walaupun ia mungkin mendapat suara geopolitik di peringkat antarabangsa dalam blok terbaharu itu.
Firma penyelidikan itu berkata, menjadi sebahagian daripada BRICS boleh memberi Malaysia platform untuk mempengaruhi dasar antarabangsa.
Malaysia boleh bekerjasama dengan negara-negara BRICS dalam isu-isu mendesak, seperti perubahan iklim, pembangunan mampan dan kestabilan ekonomi.
“Selain faedah ekonomi, penyertaan ke dalam BRICS boleh menyediakan Malaysia dengan platform bagi meningkatkan pengaruh politik, pertukaran budaya, kerjasama saintifik dan kerjasama dalam isu keselamatan dan pembangunan sosial,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BIMB Securities berkata, Malaysia kini merupakan antara 13 negara rakan kongsi BRICS yang pada asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan meliputi 20% daripada eksport dan import Malaysia sejak 2015.
Malaysia, bagaimanapun, mengimport lebih banyak daripada mengeksport daripada BRICS.
Selain itu, Malaysia mempunyai perjanjian perdagangan bebas dua hala dan pelbagai hala dengan ekonomi teratas BRICS, iaitu China dan India.
China juga merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia, walaupun perdagangan dengan Brazil, Rusia dan Afrika Selatan kekal di bawah 1% selama lebih dua dekad.
“Memandangkan Malaysia terus mempelbagaikan hubungan ekonominya, penglibatan dengan negara BRICS berkemungkinan bertambah mendalam, menawarkan faedah bersama dan meningkatkan daya tahan ekonomi,” kata BIMB Securities.
Kemasukan ke dalam BRICS adalah menjelang Malaysia menjadi pengerusi bagi 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menjemput Presiden Rusia Vladimir Putin ke Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan.
“Penyertaan ke dalam BRICS adalah sejajar dengan keahlian Malaysia dalam ASEAN, terutamanya dalam menangani cabaran global, manakala pengetahuan yang diperoleh melalui perkongsian ini boleh dikongsi dengan ASEAN, meningkatkan pengaruh Malaysia dalam kedua-dua blok,” tambah BIMB Securities. - DagangNews.com