Buku tempahan Gamuda dijangka meningkat melebihi RM35 bilion menjelang akhir 2024, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Buku tempahan Gamuda dijangka meningkat melebihi RM35 bilion menjelang akhir 2024, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Okt - MIDF Research menjangkakan buku tempahan Gamuda Bhd akan meningkat melebihi RM35 bilion menjelang akhir 2024.

 

Katanya, pada masa ini buku tempahannya meningkat kepada RM30.99 juta selepas meraih kontrak RM3 bilion bagi membangunkan loji hidroelektrik 187.5 megawatt (MW) di Tenom, Sabah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu berpotensi mengtasi pesanan RM35 bilion pada akhir tahun dengan jangkaan mereka menerima kontrak LRT Pulau Pinang (RM4.56 bilion berdasarkan 60% pegangan Gamuda dalam Konsortium SRS dan projek pusat data bernilai kira-kira RM3 bilion serta projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Australia.

 

"Gamuda juga sedang membuat tender untuk pakej Suburban Rail Loop (SRL) di Melbourne dan beberapa pakej di bawah projek Sydney Metro West. 

 

"Pengurusan menjangkakan buku pesanan akan meningkat kepada RM40 bilion ke RM45 bilion menjelang 2025," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Gamuda raih kontrak RM3 bilion bagi pembinaan loji hidroelektrik 187.5 MW di Tenom, Sabah

 

MIDF Research berkata, skop kerja bagi projek loji hidroelektrik itu merangkumi kerja-kerja reka bentuk, pembinaan, ujian dan pentauliahan loji hidroelektrik 187.5MW yang melibatkan empangan konkrit padat roller, janakuasa utama dan sekunder, sistem pengangkutan air, akses projek, dan kemudahan kekal lain yang termasuk limbung suis 275kV, 33kV talian sub-transmisi, bengkel, stor dan kemudahan operasi, dan sebuah kampung kediaman.

 

Katanya, pembinaan dijangka mengambil masa kira-kira enam tahun kerana tarikh operasi komersial (COD) yang dijadualkan adalah pada atau sebelum 31 Disember 2030.

 

"Pengurusan mnemberi panduan margin keuntungan kasar projek itu adalah sebanyak 10%," katanya.

 

Katanya, projek itu telah dianugerahkan kepada syarikat kerjasama oleh Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB), dengan Gamuda mempunyai 45% kepentingan tidak langsung melalui UPP Holdings Sdn Bhd. Selepas COD, loji janakuasa itu dijangka menjana pendapatan melebihi RM400 juta setahun.

 

Terdapat perjanjian pembelian kuasa selama 40 tahun dengan Sabah Electricity Sdn Bhd sebagai pengambil alih, yang akan memberikan Gamuda bahagian pendapatan berulangnya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM9.64 sesaham. - DagangNews.com