Cadangan penggabungan Axiata Group dan Smartfren Telecom dijangka beri kesan minimum kepada pendapatan kumpulan - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Cadangan penggabungan Axiata Group dan Smartfren Telecom dijangka beri kesan minimum kepada pendapatan kumpulan - penganalisis

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Cadangan penggabungan Axiata Group Bhd di Indonesia berpotensi memberi kesan pendapatan minimum iaitu kurang daripada 2% kepada kumpulan itu, kata penganalisis.

 

Anak syarikat Kumpulan Axiata, XL Axiata mengumumkan cadangan penggabungannya dengan Smartfren Telecom bernilai IDR104 trilion atau AS$6.5 bilion. Penggabungan yang dicadangkan itu bukan sesuatu yang mengejutkan dan telah dijangka oleh pasaran.

 

Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) berkata, berikutan pengumuman Memorandum Persefahaman (MoU) pada Mei 2024, Axiata telah mengekalkan tarikh akhir untuk memuktamadkan urus niaga yang dicadangkan menjelang akhir tahun.

 

"Walaupun cadangan penggabungan itu dijangka mewujudkan sinergi melalui gabungan skala, kecekapan dan pengetahuan pasaran, ia akan memberi impak kecil kepada pendapatan Axiata, dengan anggaran kurang daripada dua peratus," katanya dalam satu nota.

 

Pada masa ini, terdapat empat pengendali mudah alih utama di Indonesia dengan XL dan Smartfren masing-masing menjadi yang ketiga dan keempat terbesar.

 

Selepas penggabungan, PublicInvest berkata, sektor itu akan disatukan kepada tiga pemain utama.

"Kami menganggarkan XLSmart tidak berkemungkinan akan menyingkirkan pemain kedua terbesar iaitu Indosat Ooredoo, walaupun kedua-duanya boleh memegang bahagian pasaran yang setanding masing-masing sebanyak 27 % dan 28%.

 

"Walaupun kami percaya ini akan mengukuhkan kedudukan pasaran XL, manfaat daripada penggabungan ini tidak mungkin dapat dirasai dalam tempoh segera memandangkan masa dan kos penyepaduan proses," katanya.

 

Sementara itu, RHB Research berkata, penggabungan dengan Smartfren adalah langkah penting dalam strategi pengoptimuman portfolio Axiata dengan hasil daripada pengewangan separa XL untuk digunakan untuk mengurangkan hutang kumpulan.

 

Katanya, dengan mengandaikan penggabungan itu berkuat kuasa, firma itu berkata hutang bersih sembilan bulan 2024 (9MFY24) akan menurun kepada 2.48 kali daripada 2.59 kali manakala penggearan akan bertambah baik daripada 1.21 kali kepada 0.77 kali.

 

"Penilaian pasaran Axiata selepas penggabungan juga akan menyaksikan peningkatan bersih AS$200 juta kerana pegangan sahamnya yang lebih rendah selepas penggabungan.

 

"Keuntungan bersih 9M24 sepatutnya meningkat kepada RM1.22 bilion daripada RM1.17 bilion walaupun pendapatan XL telah dipecahkan selepas penggabungan didorong oleh caj faedah daripada hutang yang diturunkan,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Secara keseluruhannya, firma tersebut mengekalkan saranan “beli” pada Axiata dengan harga sasaran (TP) RM3.40. 

 

“Kami terus menyukai Axiata kerana ganjaran risikonya yang bertambah baik dengan penyahnilaian kunci kira-kira dan penambahbaikan operasi sebagai pemangkin harga saham," kata RHB Research.- DagangNews.com