CIMB Islamic sumbang mesin jentera penuai padi RM298,000, sokong golongan petani asnaf Kedah | DagangNews Skip to main content

CIMB Islamic sumbang mesin jentera penuai padi RM298,000, sokong golongan petani asnaf Kedah

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff (kanan) and Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman (kiri) bersama mesin jentera penuai padi yang disumbang oleh CIMB Islamic di Yan, Kedah.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept - CIMB Islamic Bank Bhd menyumbang mesin jentera penuai padi bernilai RM298,000 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA) bagi menyokong golongan petani asnaf negeri itu.

 

Bank tersebut menyalurkan dana wakalah zakat CIMB Islamic ke program tersebut bagi meningkatkan kemahiran petani asnaf tempatan serta menangani isu keselamatan makanan nasional, sekaligus mengurangkan kos pengeluaran dan penyumberan luar padi secara keseluruhan.

 

Katanya, peruntukan mesin jentera itu dijangka menyediakan penjimatan sehingga RM5,600 setahun untuk setiap petani bagi setiap hektar.

 

"Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, para petani asnaf kini dapat menggunakan mesin jentera penuai padi dengan hanya RM40 serelung, berbanding penyewaan jentera tempatan yang biasanya mencecah RM120 serelung. 

 

"Selain itu, petani asnaf yang mengambil bahagian SBBA juga dapat berjimat sehingga RM24 untuk mengangkut satu tan hasil padi serta sehingga RM10 bagi penggunaan dron pertanian," kata CIMB Islamic dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Majlis penyerahan diadakan baru-baru ini bersama Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff menyampaikan jentera kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman. 

 

Ahmad Shahriman berkata, kerjasama dengan LZNK akan meningkatkan kecekapan pengeluaran padi, memberi penjimatan kos yang ketara, memperkasakan petani asnaf dan sekali gus menyediakan sumber pendapatan mampan untuk mereka.”

 

“CIMB Islamic kekal komited dalam usahanya mempelopori mekanisma inovatif dalam pembahagian zakat demi menangani cabaran global yang kini dihadapi oleh negara kita, khususnya keselamatan makanan. 

 

"Kami yakin penggunaan instrumen kewangan sosial Islam yang berkesan seperti zakat, ditambah pula dengan penggunaan teknologi dapat meningkatkan taraf hidup golongan rentan dengan merapatkan jurang bagi merapatkan jurang sosial dan ekonomi,” ulas beliau.

 

Syeikh Zakaria berkata, sumbangan bank itu merupakan rumusan praktikal bagi petani untuk menghadapi cabaran dalam pertanian. 

 

"LZNK juga akan memainkan peranan dalam menyediakan latihan komprehensif kepada petani asnaf yang mengambil bahagian dalam pengendalian serta pengurusan mesin tersebut,” katanya. - DagangNews.com