Dominic Silva letak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment Bank | DagangNews Skip to main content

Dominic Silva letak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment Bank

Dominic Silva. Gambar/MIDF
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Okt - Datuk Dominic Silva meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDF Amanah Investment Bank (MIDF IB), jawatan yang disandangnya selama hampir enam tahun.

 

Menurut satu kenyataan, peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada10 Oktober 2024, namun difahamkan kontraknya hanya akan tamat pada Januari 2025.

 

Jelas Silva, menjadi CEO MIDF IB adalah satu penghormatan yang besar, tetapi ini adalah masa terbaik untuknya meletak jawatan.

 

"Saya sangat bangga dengan organisasi ini yang kini sebahagian daripada Kumpulan MBSB dan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pemegang saham terbesar, bank ini bersedia untuk pencapaian yang lebih besar di masa hadapan," katanya.

 

Difahamkan, Silva merupakan seorang daripada individu utama yang memimpin penggabungan antara MBSB Bhd dan MIDF, yang diselesaikan pada Oktober 2023.

 

Sebelum menyertai MIDF Amanah Investment Bank, beliau adalah ketua pelaburan di Khazanah Nasional Bhd dan merupakan pengarah eksekutif selama sembilan tahun.

 

Terdahulu, Silva menghabiskan 18 tahun bekerja untuk institusi perbankan antarabangsa di Malaysia, Singapura, Belanda dan Hong Kong. 

 

Beliau juga pernah berkhidmat di lembaga pengarah Astro Holdings Sdn Bhd (Malaysia), pelbagai bank dan syarikat dalam Kumpulan CIMB, serta Infrastructure Development Finance Co Ltd di India dan beberapa organisasi terkemuka lain.

 

Sejak tahun lalu, terdapat pelbagai perubahan dalam pengurusan MBSB Bhd, termasuk peletakan jawatan Datuk Nor Azam M Taib sebagai CEO MBSB Bank pada bulan Jun 2024. 

 

Beliau menyertai MBSB pada November 2010 dan dilantik sebagai CEO anak syarikat perbankannya pada Julai 2022. 

 

Jawatan itu kini diambil alih oleh CEO Kumpulan MBSB, Rafe Haneef.

 

Pada bulan Mei lalu, kumpulan perbankan itu menyaksikan pelantikan bekas ketua pegawai kewangan TIME dotCom Bhd, Shahnaz Farouque Jammal Ahmad sebagai CFO baharu. 

 

Shahnaz menggantikan Ramanathan Rajoo, yang beralih ke peranan sebagai penasihat khas kepada MBSB. - DagangNews.com