KUALA LUMPUR 9 Okt - KPJ Healthcare Bhd bakal menyaksikan dua daripada lima hospital yang mencatatkan kerugian mula mencipta keuntungan menjelang akhir tahun ini, ketika kumpulan itu meneruskan usahanya dalam mengatasi cabaran operasi rangkaiannya.
Pada 2023, KPJ mengalami kerugian terkumpul selepas cukai sebanyak RM137 juta bagi lima hospital iaitu Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2), Perlis, Miri, Batu Pahat dan Bandar Dato’ Onn.
UOB Kay Hian (UOBKH) Research berkata, kecuali Miri, empat hospital yang tersenarai itu telah mula beroperasi.
"Daripada jumlah ini, dua diunjurkan untuk mencapai keuntungan menjelang akhir tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, tempoh tunggu hasil Miri dilihat lebih perlahan daripada yang dijangkakan kerana kesukaran untuk menarik bilangan doktor perunding yang mencukupi.
Di samping menyelesaikan isu operasi, UOB Kay Hian berkata KPJ sedang memajukan usaha pertumbuhannya dengan pembukaan hospital baharu di Kuala Selangor.
"Walaupun ia akan dibina atas pembangunan ‘brownfield’, hospital milik KPJ yang ke-30 itu bakal menjadi hospital baharu yang menawarkan 60 katil di Kuala Selangor," katanya.
Kumpulan itu menyasarkan tempoh tunggu hasil yang lebih cepat untuk hospital itu serta menyasarkan pulang modal operasi dalam masa kurang daripada tiga tahun.
UOB Kay Hian juga menjelaskan rancangan KPJ untuk mendapatkan kesemua 15 doktor perunding semasa pelancaran hospital pada suku pertama 2025, dan bukannya proses pengambilan biasa yang berperingkat.
Katanya, inisiatif tersebut bertujuan untuk mempercepatkan tempoh tunggu hasil hospital.
Memandang ke hadapan, firma penyelidikan itu menekankan pertumbuhan jangka sederhana eksponen KPJ bukan sahaja bergantung pada pengembangan kapasiti agresifnya tetapi menyasarkan sehingga 5,000 katil menjelang 2028.
UOB Kay Hian berkata, dari segi pelancongan perubatan, KPJ berada di landasan yang betul untuk menguasai bahagian pasaran yang lebih besar, dengan hasil pelancongan perubatannya meningkat sebanyak 20% tahun ke tahun (YoY) pada separuh pertama 2024.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) RM1.90 sesaham.- DagangNews.com