PETALING JAYA 28 Okt - Industri Tenusu Dutch Lady Berhad (DLMI) di Petaling Jaya berakhir apabila kilangnya secara rasmi ditutup untuk beroperasi di kemudahan baharu di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
Acara penutupan kilang itu yang beroperasi sejak 61 tahun lalu pada Ahad, dihadiri oleh komuniti tempatan dan pemegang kepentingan utama DLMI.
Kilang ikonik tersebut menjadi tonggak kepada komuniti Petaling Jaya, menyediakan peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menghasilkan produk tenusu yang disayangi oleh generasi rakyat Malaysia.
Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik, menyifatkan majlis penutupan kilang tersebut sebagai penuh emosi.
"Walaupun kami sedih meninggalkan Petaling Jaya, misi kami untuk menyuburkan negara kini semakin besar dan lebih baik dengan pemindahan kami ke Bandar Enstek.
"Kilang ini telah menjadikan DLMI syarikat pembuatan tenusu terkemuka di negara ini, satu kedudukan yang masih kami nikmati setelah bertahun-tahun," katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, yang hadir sebagai tetamu kehormat mengakui kepentingan kilang tersebut kepada komuniti Petaling Jaya.
"Kilang DLMI telah menjadi pusat kepada komuniti kami selama lebih 60 tahun. Ia bukan sekadar simbol peluang ekonomi, tetapi juga kerja keras, dedikasi dan ketahanan," ujar beliau.
Sebagai sebahagian daripada ucapan selamat tinggal, DLMI mengumumkan penglibatannya dalam inisiatif perusahaan sosial, Program Pemakanan Sihat dan Nutrisi Kanak-Kanak di Desa Mentari Blok 6, Petaling Jaya, yang dikendalikan oleh Pusat Perkhidmatan Parlimen Petaling Jaya dan disokong oleh Allegra Technologies Sdn Bhd.
Program perintis yang menyasarkan 300 kanak-kanak berumur satu hingga enam tahun itu bertujuan mempromosikan tabiat pemakanan yang sihat dan menyokong pemakanan serta pertumbuhan secara keseluruhan.
Program inovatif tersebut akan menggunakan mesin jualan automatik yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) untuk menyediakan susu harian kepada kanak-kanak, memastikan akses konsisten kepada nutrien penting dan meningkatkan hasil kesihatan.
Acara penutupan kilang terbabit juga memberi penghormatan kepada arca lembu ikonik, Daisy dan Maya yang telah menyambut pengunjung sejak tahun 1970.
Kedua-dua arca itu juga akan dipindahkan ke kilang baharu yang dibina di kawasan seluas 13 hektar, tiga kali lebih besar berbanding di Petaling Jaya.
Ramjeet dalam pada itu berkata, walaupun kilang di Petaling Jaya tidak lagi wujud, syarikatnya mempunyai kenangan dan pencapaian yang paling indah untuk dibanggakan.
Ketika DLMI melangkah ke hadapan, ia tetap komited terhadap tujuannya untuk Menyuburkan Planet dan Manusia di Setiap Peringkat Kehidupan.
Pelaburan RM540 juta syarikat dalam fasiliti baharu di Bandar Enstek menekankan komitmen jangka panjang terhadap Malaysia dan dedikasinya untuk menghasilkan produk tenusu berkualiti tinggi, halal dan mampan untuk negara.
Walaupun penutupan kilang menandakan berakhirnya satu bab dalam sejarah Petaling Jaya, legasi DLMI dalam penyuburan dan penglibatan komuniti akan terus berkembang di rumah baharunya. - DagangNews.com