Equatorial Group, ONYX bangunkan pusat peranginan EQ Phuket bernilai RM321.42 juta | DagangNews Skip to main content

Equatorial Group, ONYX bangunkan pusat peranginan EQ Phuket bernilai RM321.42 juta

Equatorial Group yang mempunyai pengalaman selama lebih 50 tahun dalam industri hospitaliti di Malaysia akan bekerjasama dengan ONYX Hospitality Group untuk membina pusat peranginan EQ Phuket. Gambar/ FB Equatorial Group
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Nov - Jenama hospitaliti tempatan Malaysia, Equatorial Group dan ONYX Hospitality Group dari Thailand, menandatangani perjanjian usaha sama (JV) untuk bersama-sama membangunkan EQ Phuket, sebuah pusat peranginan dan hotel yang dijadualkan beroperasi pada 2028. 

 

Perjanjian tersebut ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Equatorial Group, Donald Lim dan CEO ONYX Hospitality, Yuthachai Charanachitta di EQ Kuala Lumpur pada Isnin.


 
Usahasama itu memperlihatkan pembangunan pusat peranginan dengan anggaran pelaburan keseluruhan sebanyak RM321.42 juta di Pantai Kata, yang menurut Yuthachai, telah menjadi milik ONYX selama 50 tahun dengan akses ke pantai.

 

Pusat peranginan terbabit akan dibangunkan di atas tanah seluas 4.85 hektar, dengan 186 unit bilik dengan pelbagai saiz, namun butiran lanjut masih dalam perincian. 

 

Donald berkata, Equatorial telah menjadi peneraju dalam industri hospitaliti di Malaysia selama lebih 50 tahun. 

 

"Kami dipacu oleh misi untuk mencipta pengalaman yang luar biasa dan berkekalan dengan sentuhan Asia yang tersendiri dan kerjasama kami dengan ONYX sangat seiring dengan visi ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, pihaknya juga akan memperkenalkan konsep hidangan Jepun di hotel berkenaan bagi menarik pelanggan dalam pasaran Phuket yang kompetitif. 

 

Sementara itu, Yuthachai menyifatkan usaha sama dengan Equatorial Group menandakan pencapaian penting dalam strategi pertumbuhannya, yang menonjolkan komitmen bersama untuk menyampaikan pengalaman hospitaliti bertaraf dunia. 

 

"Dengan menggabungkan pendekatan ONYX dengan kepakaran Equatorial Group, kami yakin EQ Phuket akan menetapkan penanda aras baharu dalam hospitaliti mewah. 

 

"Lokasi unik, bilik yang luas dan kemudahan yang luar biasa akan menjadikannya destinasi yang sukar ditolak," katanya.

 

Kelestarian akan menjadi fokus utama dalam reka bentuk dan pembinaan hotel baharu itu di mana bangunan akan disesuaikan dengan persekitaran semula jadi, pokok-pokok besar yang sedia ada akan dipelihara dan 50% daripada tanah akan dikhaskan untuk kawasan hijau. - DagangNews.com