Gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,700 sebulan mulai 1 Februari 2025 - PM | DagangNews Skip to main content

Gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,700 sebulan mulai 1 Februari 2025 - PM

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merangkap sebagai Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan mulai 1 Februari 2025.

 

“Penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa. 

 

“Kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan bermula pada 1 Ogos 2025,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja. 

 

Anwar juga menggariskan gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (RM2,290), Jurutera Mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (RM2,985).

 

Selanjutnya, beliau juga berkata, Dasar Gaji Progresif yang menyasar untuk memperkasakan pasaran buruh dengan meningkatkan pendapatan pekerja, akan memperuntukkan RM200 juta dan bakal memanfaatkan 50,000 pekerja.

 

Selain daripada dasar tersebut, Anwar juga menekankan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang disasar untuk menoktahkan kemiskinan tegar melalui peningkatan pendapatan rakyat. 

 

“Mulai tahun hadapan, kerajaan akan memperuntukkan RM250 juta ringgit bagi meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program IPR untuk menambah pendapatan mereka,” katanya.- DagangNews.com