Gamuda lancar akademi AI, perkasa bakat tempatan dalam ruang digital  | DagangNews Skip to main content

Gamuda lancar akademi AI, perkasa bakat tempatan dalam ruang digital 

Program tiga bulan itu akan menawarkan kurikulum yang memberi tumpuan kepada pembangunan AI - Gambar hiasdan dari Facebook rasmi Gamuda
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Gamuda Bhd melancarkan Gamuda AI Academy, sebuah program bagi memupuk kurikulum berlandaskan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan kumpulan bakat tempatan untuk menyokong transisi Malaysia ke arah negara digital.

 

Program tiga bulan itu akan menawarkan kurikulum yang memberi tumpuan kepada pembangunan AI yang merangkumi teknologi hujung hadapan dan hujung belakang AI.


 
Projek komuniti yang ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Gamuda itu terbuka kepada pelajar, graduan, profesional dan pengasas syarikat permulaan yang berumur sehingga umur 40 tahun, yang mempunyai minat untuk mempelajari AI.

 

Pemohon akan dipilih melalui ujian pengekodan dan temu duga untuk mengukur keserasian mereka dengan kurikulum akademi. 

 

Ketua Pegawai Digital Kumpulan Gamuda, John Lim Ji Xiong berkata, akademi AI Gamuda merupakan maklum balas langsung syarikat terhadap seruan memperkasakan tenaga kerja dalam ruang digital, selain daripada menyampaikan kepakaran teknikal, selain memupuk generasi profesional AI. 

 

“Kami menyasarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab global AI dan inovasi digital, pendekatan ini merupakan langkah mempercepatkan transisi negara ke arah digital dengan membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi," katanya. 

 

Selain makmal dan kuliah, pengalaman praktikal yang ditawarkan oleh akademi termasuk akses program Google Cloud Skills Boost dan Gemini Code Assist, sebagai sumber pengalaman pembelajaran. 

 

John berkata, peserta juga boleh memperoleh peluang pembangunan kerjaya termasuk sesi bimbingan, acara rangkaian, pembangunan kemahiran peribadi dan akses keutamaan kepada latihan amali dan penempatan kerja dalam ekosistem rakan kongsi dan pelanggan Google Cloud.

 

Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang merasmikan majlis pelancaran program itu berkata, walaupun unjuran dan ramalan pertumbuhan ekonomi Malaysia memberi petanda baik, syarikat tempatan tidak boleh leka dan mesti terus meningkatkan tahap untuk mengubah Malaysia menjadi hab AI serantau.

 

“Memodenkan ruang kerja, tenaga kerja dan mengikuti perkembangan digital terkini adalah sangat penting supaya kita tidak ketinggalan, Kementerian Digital memandang serius pembangunan bakat,” katanya.

 

Gobind juga berkata, kemajuan itu memperkasakan orang kurang upaya, memberikan mereka peluang untuk meneruskan kerjaya dalam industri teknologi, dan membantu mengecilkan jurang digital.

 

"Mereka harus diberi kuasa untuk menyumbang dengan kumpulan bakat yang kemudiannya boleh membantu perniagaan untuk menerima dan menggunakan AI dan teknologi digital lain bagi meningkatkan operasi mereka," kata beliau. - DagangNews.com