Hari MITI 2024 bakal tawar peluang perkerjaan kepada 2,600 pengunjung | DagangNews Skip to main content

Hari MITI 2024 bakal tawar peluang perkerjaan kepada 2,600 pengunjung

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Sept - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menganjurkan Hari MITI 2024 bagi memberi peluang kepada belia, wanita dan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memanfaatkan inisiatif yang tersedia terutamanya dalam sektor industri pembuatan dan perkhidmatan.

 

Acara tahunan yang bertempat di Menara MITI, Kuala Lumpur itu dijangka menampilkan lebih 2,600 peluang pekerjaan untuk belia serta penglibatan 22 syarikat tempatan dan antarabangsa.

 

MITI berkata, majlis tersebut bakal menarik lebih 10,000 pengunjung yang berpeluang memanfaatkan inisiatif-inisiatif kerajaan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

 

“Antara sorotan utama Hari MITI termasuk eksplorasi kerjaya, di mana 22 syarikat akan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada pengunjung, pameran TVET & akademi dalam industri khusus kepada pembangunan modal insan dan pameran kementerian dan agensi. 

 

 

MITI

 

“Selain itu, Hari MITI akan mengadakan taklimat perniagaan, pelaburan dan saham bagi pengunjung yang minat untuk memahami strategi sektor itu, jualan harga kilang dan usahawan tempatan yang akan menjual produk berkualiti tinggi pada harga kilang. 

 

“Majlis itu  juga akan menampilkan inovasi terkini dalam sektor automotif dan membuka kaunter diskaun saman oleh PDRM di mana pengunjung berpeluang menyelesaikan saman dengan diskaun 30% secara langsung,” ujarnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengulaskan kepentingan majlis itu untuk memastikan inisiatif-inisiatif kementerian akan  memanfaatkan semua lapisan industri dari syarikat yang pelbagai saiz. 

 

“Hari MITI merupakan satu pendekatan bagi belia dan pencari kerja untuk mengenali prospek kerjaya yang baik di dalam sektor industri pembuatan dan perkhidmatan,” kata beliau. - DagangNews.com