Hartalega diramal terima manfaat daripada peningkatan tempahan di pasaran AS | DagangNews Skip to main content

Hartalega diramal terima manfaat daripada peningkatan tempahan di pasaran AS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Nov - Peningkatan tempahan dari Amerika Syarikat (AS) diramal memberi manfaat kepada Hartalega Holdings Bhd khususnya dalam mendepani impak pertukara mata wang asing selain meningkatkan margin.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, pendedahan kumpulan itu kepada pasaran AS adaah antara 40% hingga 50% dan ia dijangka meningkat sehingga 70% mulai Januari 2025 dan seterusnya. 

 

Katanya, pengeluar sarung tangan itu dijangka menyampaikan pendapatan berurutan yang lebih kukuh bermula suku ketiga tahun kewanganya 2025 (3QFY25) atau 4QFY24 dan seterusnya.

 

"Kami mengekalkan ramalan pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan 2025 hingga 2027, disebabkan hasil dolar AS baru-baru ini kepada pelanggan di negara itu (seperti harga jualan purata yang lebih tinggi), bersama-sama dengan pengembangan margin, terutamanya dari Disember 2024 dan seterusnya.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM3.62 sesaham," katanya dalam atu nota kajian.

 

HLIB juga berkata, Hartalega memberikan panduan bahawa harga terbaharu sarung tangan getah nitril perubatan generik akan kekal kompetitif di pasaran bukan AS pada AS$18 hingga AS$19 setiap 1,000 keping sejak Mei 2024 disebabkan persaingan China yang berterusan.

 

Pengeluar China kini menjual pada AS$16 hingga AS$17 setiap 1,000 keping.

 

Jumlah jualan akan meningkat secara berurutan daripada 1.9 bilion kepada dua bilion keping sebulan pada 2Q24 kepada 2.1 bilion kepada 2.2 bilion keping sebulan. Ia akan terus meningkat kepada 2.3 bilion hingga 2.4 bilion keping sebulan pada 4Q24.

 

Peningkatan pada 4Q24 terutamanya akan dirangsang oleh lencongan perdagangan yang diterajui tarif daripada pelanggan AS.

 

Firma penyelidikan itu berkata Hartalega mampu membezakan dirinya daripada rakan tempatannya kerana nama jenamanya terkenal sebagai salah satu daripada empa pengeluar utama tersenarai di Malaysia, hubungan perniagaan yang konsisten dengan pembeli AS dan pendedahan yang agak tinggi kepada Amerika Utara berbanding dengan rakan setaranya.- DagangNews.com