Hasil suku ketiga ViTrox dijangka lebih rendah antara RM125 juta hingga RM135 juta kesan kelemahan jualan | DagangNews Skip to main content

Hasil suku ketiga ViTrox dijangka lebih rendah antara RM125 juta hingga RM135 juta kesan kelemahan jualan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan ViTrox Corp Bhd mencatatkan hasil lebih rendah antara RM125 juta hingga RM135 juta pada suku ketiga berbanding RM137 juta pada suku kedua 2024 kesan jualan rendah.

 

Katanya, hasil segmen papan pemeriksaan automatik (ABI) pada suku ketiga juga dianggarkan berada sekitar RM75 juta hingga RM80 juta dengan keterlihat jualan bagi segmen itu di pasaran global Amerika Utara adn Eropah agak lemah. 

 

"Kami menjangkakan aliran ini akan berterusan sementara menunggu berakhirnya Pilihan Raya Amerika Syarikat pada November 2024.

 

"Kekurangan permintaan dari barat, bagaimanapun, mungkin dapat dikurangkan menerusi penambahbaikan pesanan daripada pelanggan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) Taiwan, sektor automotif China dan telefon pintar India," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.


Firma penyelidikan itu berkata, hasil bagi segmen sistem penglihatan mesin (MVS) pada suku ketiga adalah antara RM8 juta hingga RM10 juta dengan prospek permintaan keseluruhan dijangka kekal setanding dengan kadar jangka penghantaran pada suku sebelumnya.

 

Katanya, permintaan China masih menyumbang sebahagian besar pesanan MVS sekitar 70% hingga 75%.

 

"Dinamik industri jangka terdekat kekal mencabar dengan persaingan sengit daripada pembekal domestik di tengah-tengah kadar pemulihan yang lebih perlahan pada separuh kedua 2024.

 

"Kami percaya pengukuhan riggit berbanding dolar AS juga menimbulkan halangan selanjutnya kepada terjemahan pesanan yang bermakna bagi bagi dua suku tahun ini," katanya.

 

Maybank IB berkata, walaupun mereka menyukai ViTrox kerana pasukan pengurusannya cemerlang dan pendedahan kepada industri pertumbuhan tinggi utama, pihaknya berpendapat, dinamik industri masih belum menunjukkan tanda-tanda peningkatan yang bermakna untuk menjamin penarafan semula.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan 'jual' pada harga sasaran (TP) RM3.40 sesaham.  - DagangNews.com