KUALA LUMPUR 23 Okt - RHB Investment menjangkakan hasil Teo Seng Capital Bhd mencatatkan perkembangan positif didorong kecekapan kos serta peningkatan permintaan dan sektor pelancongan.
Katanya, kumpulan itu menerima manfaat daripada pasaran menggalakkan terutama daripada pengukuhan ringgit dan kos makanan yang lebih rendah, prestasi berdaya tahannya disokong pusat pengedaran yang dirancang di Pahang akan meningkatkan lagi kecekapakan rantaian bekalan untuk pelanggan rantaian pasar mininya.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan penggunaan daripada pertumbuhan penduduk yang berterusan dan rekod penggunaan telur yang tinggi per kapita, didorong oleh peningkatan ketibaan pelancong, dijangka memacu pertumbuhan permintaan dan kuantiti jualan yang kukuh untuk kumpulan.
Sebagai antara tiga pengeluar telur teratas di Malaysia dengan bahagian pasaran lebih 13%, kumpulan mendapat manfaat daripada skala ekonomi, terutamanya dalam pembelian bahan mentah pukal, membantu mengurangkan kos pengeluaran.
"Kelebihan ini, digabungkan dengan peningkatan tahunan 9% dalam pengeluaran dan peningkatan kemudahan, ditetapkan untuk meningkatkan margin.
"Kumpulan itu mengeksport 20% telurnya ke Singapura dan jumlah itu telah meningkatkan jualan langsung daripada bawah 20% pada 2018 kepada 62% pada separuh pertama 2024, menjimatkan sehingga 3 sen setiap telur.
"Dengan rancangan untuk membuka pusat pengedaran Pahang untuk menyokong pelanggan ketiga terbesarnya, 99 Speedmart, pengembangan cawangan di Pantai Timur, jualan tidak langsung dijangka terus menurun," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Investment berkata, walaupun purata harga jualan (ASP) telur kumpulan susut 14% dari tahun ke tahun pada suku kedua 2024 selain menyusut lebih 8% pada separuh kedua tahun ini, pihaknya menyerlahkan harga semasa jagung dan makanan kacang soya – bahan utama makanan ayam – telah jatuh sekitar 40% dan 25% dari tahun ke tahun.
Katanya, ditambah dengan pengukuhan ringgit sebanyak 10%, mereka percaya margin keuntungannya akan meningkat dengan pesat sebagai pengimport bersih.
Firma penyelidikan itu tidak memerikan sebarang penarafan tetapi menetapkan harga wajar (FV) RM4.26 sesaham. - DagangNews.com