KUALA LUMPUR 27 Sept - Pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), Hektar Asset Management Sdn Bhd melantik Zainal Iskandar Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya, berkuat kuasa serta-merta, selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada 12 September 2024.
Beliau membawa pengalaman lebih 20 tahun merentasi pelbagai industri, termasuk hartanah, minyak dan gas, logistik, hospitaliti, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan telekomunikasi.
Hektar REIT, berkata, kerjaya beliau dalam kewangan korporat, penstrukturan semula dan transformasi perniagaan telah menyaksikan beliau berjaya mengemudi kedua-dua pasaran domestik dan antarabangsa, memacu pertumbuhan dan menggiatkan semula banyak perniagaan.
"Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif di Lembaga Pengarah REIT, di mana bimbingan strategiknya memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju amanah.
"Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Perak Corporation Bhd, semasa perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam menerajui pemulihan keuntungan selepas beberapa tahun menghadapi cabaran kewangan.
"Beliau memulakan kerjayanya dengan Kumpulan RENONG-United Engineers (Malaysia), di mana beliau menyumbang kepada perkembangan korporat utama, termasuk tawaran awam permulaan (IPO) Time dotcom Bhd dan penstrukturan semula Kumpulan RENONG-UEM," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas mengenai peranan baharunya, beliau akan meneroka peluang pertumbuhan, mencipta nilai, menjana kemampanan berpanjangan dan pulangan jangka panjang pemegang unit.
Lembaga Pengarah turut berkata pelantikan Zainal Iskandar tepat pada masanya dalam strategi pertumbuhan Hektar REIT.
"Dengan pengalaman kepimpinannya yang luas, ditambah dengan pandangan strategiknya, menjadikannya calon yang tepat untuk mengemudi amanah melalui fasa seterusnya.
"Kami yakin kepakaran beliau akan mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam pasaran, dan di bawah kepimpinan beliau, Hektar REIT akan terus berkembang maju dan memberikan nilai kepada semua pihak berkepentingan," ujarnya. - DagangNews.com