KUALA LUMPUR 29 Okt - Hume Cement Industries Bhd diramal mencatatkan pendapatan kukuh bagi tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2025 (FY25), disokong oleh permintaan yang stabil untuk simen.
UOB Kay Hian Research (UOBKH) berkata, walaupun pelancaran projek infrastruktur mega daripada kerajaan dijangka perlahan tetapi projek kecil seperti sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan permintaan daripada sektor swasta boleh menyokong pertumbuhan mereka.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas Hume Cement, dengan harga sasaran (TP) RM5.10 sesaham berbanding RM5.40 sebelum ini.
UOB Kay Hian berkata, harga sasaran yang lebih rendah itu adalah elaras dengan semakan menurun unjuran pendapatan FY25 an FY26 kumpulan, terutamanya disebabkan harga simen dan kadar penggunaan klinker yang lebih rendah akibat daripada pelancaran projek infrastruktur mega yang lebih perlahan daripada jangkaan.
“Kami menjangkakan harga simen kekal mampan kerana aktiviti pembinaan dijangka meningkat tahun ini. Unjuran menunjukkan harga simen akan, sekurang-kurangnya, kekal stabil pada RM380 bagi setiap tan.
“Berdasarkan semakan saluran kami, harga simen mencecah paras puncak RM400 setiap tan untuk hanya empat bulan dalam tempoh sedekad sebelum COVID-19.
"Bagaimanapun, apabila diselaraskan untuk inflasi, harga simen sebenar berada pada RM470 setiap tan, menunjukkan ruang untuk menaik daripada harga simen semasa RM380 untuk setiap tan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun terdapat kelewatan pelancaran projek infrastruktur mega pada pembentangan Belanjawan 2025, dua projek utama telah diketengahkan - Sistem Transit Rapid Johor (RTS) dan sistem LRT Pulau Pinang.
“Projek-projek ini, dengan kos pembinaan gabungan RM15 bilion hingga RM16 bilion, dijangka menjadi pemangkin utama pada 2025, terutamanya LRT Pulau Pinang boleh dimulakan seawal tahun depan.
"Memandangkan simen lazimnya merangkumi 15% hingga 20% daripada kos pembinaan, ini diterjemahkan kepada potensi RM2.4 bilion hingga RM3.4 bilion permintaan untuk simen, meningkatkan lagi prospek permintaan simen,” katanya.
UOB Kay Hian juga menjangkakan kadar penggunaan yang lebih baik dengan peningkatan dalam aktiviti pembinaan.
“Industri ini dijangka berkembang pada 2025 dengan kadar penggunaan menjadi normal apabila aktiviti pembinaan meningkat semula dengan pecutan projek infrastruktur dan beberapa projek perumahan.
"Ini akan membawa kepada permintaan yang lebih kukuh dan harga yang stabil, yang akan menyokong peningkatan dalam prospek pendapatan,” katanya.- DagangNews.com